ADAT RESAM BAPUKUNG ATAU PASUNG

Bapukung atau Pasung adalah upacara dalam majlis cukur jambul dan popular dalam kalangan masyarakat Banjar. Adat ini biasanya dibuat dalam pondok kecil yang boleh memuatkan buaian yang diperbuat daripada kain batik. Uniknya adat ini ialah bayi dalam buaian diletak seperti sedang duduk dengan badannya dibalut dan diikat dengan sehelai kain batik. Walaupun keadaan bayi kelihatan amat menyeksakan, namun sebenarnya keadaan sebegini menyebabkan bayi merasa selesa seperti sedang didakap erat.
Budaya bapukung adalah kaedah popular untuk memberikan rasa selesa dan dakapan kepada bayi bagi membolehkannya tidur lebih lama tanpa rasa terganggu. Cara membalut bayi mestilah kemas dan padat untuk membolehkan bayi merasa seperti dalam rahim ibu.
Upacara bapukung dimulakan dengan bacaan doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian bayi dibalut dan diikat. Upacara ini berakhir dgn lagu khusus iaitu:
Yun ayun anakku ayun, ayun di dalam, dalam ayunan, lakas bakijim, lakasi guring, umak aur banyak gawian. Lailahaillalah Nabi Muhamad pasuruh Allah. Yuna dinana anakku guring, guring di dalam, dalam Bismillah, jauhi culas jauhkan kulir, kus samangat hidup baiman.