ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CHETTI MELAKA: SADANGGU ATAU SADENGGU
PENGENALAN
Melaka negeri bertuah kerana kaya dengan
kepelbagaian etnik iaitu Chetii, Baba Nyonya dan Portugis yang semuanya hidup
dalam aman dan harmoni. Setiap etnik bebas mengamalkan budaya masing-masing
selagi tidak melanggar tatasusila dan batas kehidupan bermasyarakat di negeri
ini. Setiap etnik ini masih mengamalkan adat dan budaya yang diwarisi.
Adat Sadanggu atau Sadenggu masyarakat Chetti khusus bagi anak dara sunti mereka yang telah akil baligh. Adat ini mempunyai elemen ritual dan keagamaan serta masih diamalkan. Antara keperluan untuk upacara ini ialah pelamin yang berhias, peralatan untuk upacara memusing, pakaian baju Melayu putih teluk belanga, baju kebaya panjang, sari, dan makanan tradisional.
PERINGKAT ADAT
Mengikut kepercayaan masyarakat Chetti,
apabila si gadis mengalami haid buat kali pertama gadis itu tidak dibenarkan
keluar rumah untuk mengelakkan dirinya didekati roh-roh jahat. Keluarga gadis
tersebut juga tidak boleh ke kuil dan orang ramai juga tidak boleh berkunjung
ke rumahnya kerana kekotoran pada gadis tersebut.
Peringkat-peringkat adat ini adalah seperti berikut:-
1. Upacara Mandi Restu
Adat ini dimulakan dengan memandikan anak dara
sunti sewaktu matahari mula terbit, bertujuan membuang bala, saka atau roh
jahat. Air mandian mengandungi kunyit dan tujuh jenis bunga. Sewaktu upacara
mandi gadis memakai pakaian baju Melayu putih teluk belanga. Setelah selesai
mandi restu gadis dibilas dengan air bersih. Pakaian mandi gadis berkenaan
dibuang bertujuan membuang segala bala yang ada padanya. Kemudian gadis ini
memakai baju kebaya panjang.
2. Jamuan Kuih Tradisional
Gadis sunti ini dijamu dengan kuih tradisional
Chetti iaitu putu piring kosong.
3. Upacara Sadanggu atau Sadenggu
Gadis sunti dihias seperti pengantin lengkap
dengan sanggul rapi, hiasan bunga di sanggul, rantai dan gelang serta duduk di
bangku yang dihias dan beralaskan kain putih serta padi. Saudara mara gadis
menyediakan satu dulang berisi nasi, air, tahi lembu kering, pelita, padi, putu
piring, roti dan anak batu giling bagi upacara memusing. Ibu-ibu saudara yang
sudah berkahwin sebelah bapa si gadis dan bapa-bapa saudara yang sudah
berkahwin sebelah ibu gadis perlu menyediakan hadiah berupa hantaran kepada si
gadis, iaitu sari, alat mekap, gelang, hiasan malai, sikat, cermin, kunyit dan
buah-buahan.
Upacara ini dimulakan dengan bacaan jampi serapah Tok Sami kepada gadis sunti ini. Kemudian dulang yang berisi makanan dipusing-pusingkan di hadapan gadis oleh bapa dan ibu saudara si gadis. Hanya saudara mara seperti tersebut di atas sahaja dibenarkan mengendali upacara ini. Setelah itu setiap bapa dan ibu saudara gadis ini menyerahkan hantaran kepada si gadis. Setiap sari yang dihadiahkan perlu dipakai oleh si gadis. Sekiranya lima sari dihadiahkan maka si gadis perlu bertukar sari sebanyak lima kali. Akhir sekali bapa dan ibu saudara si gadis memakaikan bunga malai kepadanya secara bersilang yang bererti dia belum berkahwin.
Hadirin kemudian menikmati jamuan kuih-kuih tradisional seperti pulut tekan, seri kaya, tepung koma dan putu, atau masakan tradisional seperti, antaranya, pindang ikan, sambal timun dan sambal telur.