BELACAN

Melaka terkenal dengan produk belacannya yang
unik. Lebih 16 buah gerai menjual pelbagai jenis makanan tradisional Melaka ini
di sepanjang Klebang Besar hingga ke Tanjung Kling. Pelancong yang datang
mengunjungi atau melawat Melaka juga cenderung menjadikan belacan sebagai buah
tangan untuk dibawa balik kepada sanak saudara dan rakan-rakan. Belacan Melaka
berbeza dengan belacan di negeri lain kerana dibuat dari udang geragau segar
menjadikan warnanya agak pucat. Udang geragau ini ditangkap dengan menggunakan
jaring khas semasa air pasang. Udang ini kemudiannya dibersihkan dari segala
kekotoran seperti tanah, pasir, batu dan sebagainya. Udang yang sudah bersih
akan dicampurkan dengan garam halus sehingga rata dan dijemur sehingga separa
kering. Pengusaha biasanya akan mengisar udang bergaram separa kering ini
sehingga separuh hancur dengan sedikit air. Ada juga yang menggunakan teknik
menumbuk jika mereka tiada mesin kisar tradisional. Langkah terakhir adalah
memasukkan campuran tadi ke dalam kain dan dimasukkan ke dalam bekas atau tong
dan ditindih dengan pemberat untuk memadatkannya sebelum diperam selama
seminggu di tempat yang sesuai. Proses menjemur, mengisar, memadat dan mengeram
akan dilakukan berulang kali untuk mendapatkan hasil yang lebih halus dan cantik.
Setelah pengusaha berpuas hati dengan tahap kehalusan belacan, barulah ia akan
dibentukkan dan dijemur sehingga agak kering dan sesuai untuk dibuat
pengreddan, dibungkus, dilabelkan dan seterusnya dipasarkan. Proses pembuatan
perlulah dilakukan mengikut cara dan petua yang sesuai untuk lebih tahan lama.
Secara keseluruhan, proses pembuatan belacan ini mengambil masa di antara tiga
sehingga lapan minggu dan bergantung kepada jenis peralatan untuk proses
pembuatan.