HAJI IDRISS BIN HAJI SHARIFF

Haji Idris Bin Haji Shariff merupakan salah
seorang tokoh warisan yang wajar dikenali di negeri Melaka. Beliau dilahirkan
pada 20 Disember 1955 dan berasal dari Kampung Duyung, Melaka. Beliau juga
merupakan seorang anak daripada seorang ahli muzik iaitu Haji Shariff. Bakat
beliau dalam industri muzik ini dikatakan telah diwarisi oleh bapanya sendiri,
memandangkan beliau mempunyai minat yang mendalam untuk mempelajari mengenai
permainan peralatan muzik tradisional khususnya peralatan muzik Dondang Sayang.
Tuan Haji Idris juga sering mengikuti bapanya dalam mengadakan sebarang
persembahan dan juga kelas muzik sekaligus telah meningkatkan lagi rasa minat
tersebut. Tuan Haji Idris telah berkecimpung dalam memainkan peralatan muzik
sejak beliau berumur 25 tahun sehingga ke hari ini.
Pada usia 25 tahun, beliau telah melibatkan
diri dalam memainkan muzik Dondang Sayang secara serius dan berjaya untuk
melakukan persembahan pada pelbagai acara dan majlis keraian. Namun pada masa
yang sama juga, beliau turut melakukan kerja sampingan iaitu berniaga pelbagai
jenis menu makanan di Medan Selera Sri Duyung. Kegiatan beliau dalam kesenian
ini akhirnya telah berjaya menempatkan beliau di Institut Warisan Melaka
(INSWA) sebagai Ketua Jurulatih Muzik. Sebelum itu, beliau telah berkhidmat
sebagai Pemuzik Kanan Kombo Briged Seni Melaka (1990-2000) dan juga Ketua Muzik
Kombo MBMB (2001-2005). Selain itu juga, beliau turut dipertanggungjawabkan
sebagai Penolong Pengarah Muzik dalam Program Pesta Gendang Nusantara ke-4 dan
ke-5.
Bukan itu sahaja, beliau juga turut terlibat sebagai pemuzik jemputan dalam:
i) Kombo RTM,
ii) Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
iii) Orkestra Negara Brunei
iv) Orkestra Istana Budaya
v) Ketua Kombo Muzik Asli Maksak Malaysia
(2003-2017
Tuan Haji Idris bukan sahaja terlibat dalam
persembahan di dalam negara, namun terlibat juga pada peringkat antarabangsa,
antaranya adalah :
i) Jepun
ii) Mexico
iii) Venezuela
iv) Taiwan
v) Brunei
vi) Indonesia
vii) Singapura
viii) Poland
ix) Australia
x) Korea
xi) Mauritius
xii) Thailand
Beliau juga merupakan Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang kesenian ini, beliau juga telah dianugerahkan beberapa pingat kebesaran dan anugerah iaitu:
i)
Pingat Jasa Kebaktian (PJK), sempena
Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka yang ke 72
Tahun 2010.
ii)
Penggiat Seni Budaya Melaka (2006)
iii)
Jurulatih Terbaik JSBN (2007)
iv)
Tokoh Dondang Sayang Negeri Melaka (2007)
v)
Tokoh Karyawan Seni 2019 oleh UNESCO.