TUAN HAJI AB. RANI BIN EMBI

TUAN HAJI AB. RANI BIN EMBI

Ab. Rani Embi juga dikenali dengan nama pena A.Rani Embi @ Ibnu Salleh. Berusia 65 tahun, dilahirkan di Kampung Ayer Molek, Melaka dan mendapat pendidikan menengah di SMK Munshi Abdullah. Seterusnya melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau meneruskan kerjaya sebagai guru Bahasa Melayu dan pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah di daerah Jasin. Kini beliau telah bersara wajib dan sangat aktif dalam bidang penulisan dan banyak menghasilkan puisi, cerpen, skrip teater dan esei. Penulisan pertamanya adalah puisi yang berjudul ‘Pada Tuhanku’ diterbitkan dalam majalah Cenderamata.

Beliau merupakan seorang Tokoh Puisi Rejang dan pelopor kesenian Puisi Rejang di negeri ini. Beliau telaj berjaya memperkenalkan Puisi Rejang ke serata negeri antaranya  memperkenalkan Puisi Rejang sewaktu persembahan di Stadium Jasin, mengadakan persembahan Puisi Rejang di Maktab Perguruan serta banyak mengembangkan Puisi Rejang  melalui persembahan, penulisan, bimbingan  dan pendokumentasian berkaitan puisi ini.

Selain itu, beliau turut aktif berkarya. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih daripada 150 buah puisi. Karya-karya beliau telah banyak diterbitkan dalam akhbar dan majalah antaranya majalah Anis, Nur, Al-Islam, Mastika, Dewan Sastera, Berita Harian, Mingguan Malaysia dan lain-lain. Beliau juga turut menyumbang puisinya dalam antologi Tarian Laut, Di Sini Segalanya Bermula (Dewan Bahasa dan Pustaka), Gema Membelah Gema (GAPENA), Ombak dan Pantai (Ikatan Persuratan Melayu) dan Lantera Zaman (GAPENA).

Beliau bukan sekadar terlibat dalam bidang penulisan tetapi juga seorang pendeklamator dan sering mendapat undangan mendeklamasikan puisi antaranya dalam program Pertemuan Penyair Selat Selatan di Batam, Indonesia, Malam Puisi Usman Awang sempena Majlis Perasmian Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan di Johor Bharu. Antara karya-karya beliau Nostalgia Seorang Guru Tua (Cerpen Eceran), Kembara Malam (Antologi Sajak Persendirian), Tarian Laut, Di Sini Segalanya Bermula, Ombak dan Pantai (Antologi Bersama), Meracik Cinta di Raudah, Cacatan Rindu, Jodoh, Seruling Cinta Jiwa Zulaikha (Sajak Eceran) dan lain-lain.

Sepanjang penglibatan beliau, banyak pencapaian dan penganugerahan yang telah diperolehi oleh antaranya ialah:

i)  Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 2004

ii) Tokoh Budaya NegeriMelaka (2016)

iii) Tokoh Nazam (2020)    

iv) Tokoh Puisi Rejang (2021)        

v) Tokoh Guru Peringkat Negeri Melaka (2021)

010-4249698

KM 10, Jalan Masjid,

Kampung Pedamar,

Simpang Ayer Molek,

75460, Melaka