DATUK MOHD BAHARIM BIN MOHD SHARIP

DATUK MOHD BAHARIM BIN MOHD SHARIP

Datuk Mohd Baharim bin Mohd Sharip dilahirkan pada 9 September 1944 di Kampung Bertam Ulu, Melaka Tengah. Beliau merupakan anak seorang anggota polis yang berkhidmat di Balai Polis Selandar. Bakat beliau dalam bidang seni diwarisi daripada keluarga beliau yang sememangnya berdarah seni. Ayah beliau merupakan seorang pemain biola manakala datuknya pula seorang penyanyi Dondang Sayang. Beliau mempelajari kesenian Dondang Sayang ini daripada ayah dan datuknya sehinggalah timbul minat untuk berkecimpung dalam kesenian Dondang Sayang ini. Mempunyai pengalaman hampir 50 tahun dalam kesenian Dondang Sayang bermula dengan bermain muzik sehinggalah kepada penyanyi.

 

Pada usia belasan tahun lagi, beliau telah mahir dalam bermain alat muzik biola serta pelbagai alatan muzik yang lain di samping turut mengasah bakat dalam bidang nyanyian. Dalam pada masa yang sama juga beliau masih lagi bekerja sendiri dengan mengambil upah menggunting rambut. Kegigihan beliau dalam kesenian ini akhirnya beliau telah menyertai Kumpulan Dendang Perantau dan seterusnya telah menubuhkan Kumpulan Cak Kun Cak. Perintis kejayaan beliau dalam nyanyian Dondang Sayang ini apabila menyertai Pesta Dendang Rakyat dan berjaya meraih tempat pertama. Kejayaan beliau ini bertambah manis apabila mendapat tawaran rakaman radio di RTM Melaka dan seterusnya berjaya merakamkan album berjudul ‘Mawar Biru’, sehingga kini sebanyak lima (5) buah album telah berjaya dihasilkan.

 

Beliau juga telah banyak menghasilkan koleksi pantun Dondang Sayang yang dianggarkan mencecah hampir 2000 ribu rangkap pantun. Setelah Kumpulan Cak Kun Cak, beliau kembali menghidupkan kembali kumpulan baru dan diberi nama sebagai Kumpulan Kenangan Mawar Biru dan bertindak sebagai pemimpin muzik. Beliau masih lagi aktif dalam mengadakan persembahan di dalam dan luar negeri antaranya dalam majlis-majlis rasmi anjuran Kerajaan Negeri, menganjurkan bengkel-bengkel muzik dan pantun Dondang Sayang, sehingga kini. Kecintaan beliau terhadap kesenian Dondang Sayang amat tinggi, selagi hayat di kandung badan, selagi mempunyai kudrat, beliau akan terus memperjuangkan dan memelihara kesenian Dondang Sayang ini.

 

Antara penglibatan beliau dalam mengadakan persembahan Dondang Sayang di peringkat antarabangsa adalah:

 

i)                    Majlis pengiktirafan Dondang Sayang sebagai Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity, Meeting Intergovernmental Committee for The Safeguarding of The Intangible Cultural Heritage (IGC-ICH) kali ke-13 di Swami Vivekananda International Convention Center, Port Louis for Republik Mauritius pada bulan November 2018.  

 

ii)                  Festival Seni Hidup (Living Arts Cultural Festival) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur pada tahun 2018.

 

iii)                Program-program Silang Budaya Peringkat Antarabangsa di Kepulauan Riau, Sumatera, Jawa dan lain-lain.

 

 

Sepanjang pembabitan beliau dalam kesenian ini, banyak pencapaian yang telah beliau perolehi antaranya;

 

i.      Pingat :

§  Bintang Khidmat Terpuji (BKT) (2000)

§  Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk,           (2017)

 

ii.        Anugerah :

§  Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

 

§  Tokoh Dondang Sayang Negeri Melaka – Kerajaan Negeri Melaka

 

iii.      Pertandingan :

§  Johan Pertandingan Pesta Dendang Rakyat 1988

§  Johan Pertandingan Bintang P. Ramlee Peringkat Negeri Melaka 1993

§  Pertandingan Muzik Asli Negeri Melaka 2001

§  Johan Pertandingan Dondang Sayang Negeri Melaka anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah

§  Johan Pertandingan Dondang Sayang Negeri Melaka anjuran JKKN Melaka

012-9254659

Kumpulan Muzik Asli Kenangan Mawar Biru

Batu 10, Kampung Bertam Ulu,

76450 Melaka