DIKIR BARAT

Perkataan 'dikir' ialah hasil daripada dua
kombinasi seni iaitu ‘dikir dan pantun’ atau ‘dikir dan karut’. Perkataan
‘karut’ daripada istilah ‘bercerita dalam bentuk pantun atau syair’. Justeru,
Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir Pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Di
Kelantan lebih terkenal dengan nama ‘Dikir Barat’ manakala di Selatan Thai
‘Dikir Karut’. Dikir Barat adalah bentuk seni muzik yang unik yang melibatkan
gabungan nyanyian, deklamasi puisi, tarian seirama, dan sudah tentu, muzik.
Bentuk kesenian ini telah disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun
2009.
Ada yang berpendapat Dikir Barat berasal dari
selatan Thailand dengan nama Dikir Karut. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah
hasil susunan yang dibuat oleh Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad (dikenali sebagai
Pak Leh Tapang) yang mengimprovisasi bentuk seni ini dengan menambah pantun di
dalamnya. Ada pendapat menyatakan kesenian ini berasal dari Pulau Tebu.
Bentuk kesenian ini lazimnya diamalkan semasa
musim menuai padi dan majlis perkahwinan sebagai hiburan atau pertandingan. Kandungannya
berkisar tentang isu semasa dan kehidupan masyarakat sejagat.
Dalam persembahan Dikir Barat, diketuai oleh
Tukang Karut dan Tok Juara atau disebut Tok Jogho. Mereka berbalas-balas
pantun, diikuti oleh kumpulan Awak-Awak sebagai suara latar dengan suara yang
kuat dan lantang. Pergerakan dalam persembahan dalam Dikir Barat adalah terhad
kepada duduk bersila sambil membuat pergerakan badan dan tangan seirama serta
bertepuk tangan mengikut lagu.
Di dalam permainan ataupun persembahan Dikir
Barat lazimnya disertai dua pasukan yang mengambil bahagian dalam satu masa.
Mereka akan berbalas-balas pantun dan sindir menyindir. Walaubagaimanapun ini
hanya sebagai hiburan sahaja. Persembahannya adalah didalam loghat Kelantan.
Akhir sekali, Tukang Karut sebelah pihak akan mengalunkan lagu sedih, dan
meminta maaf dan mengenangkan nasib untung Tukang Karut.
Pada peringkat awal perkembangan, persembahan
Dikir Barat hanya menggunakan satu alat adiofon sahaja iaitu kecerek iaitu
keping-keping buluh yang diketuk bersama untuk menghasilkan rentak irama dikir
barat. Mereka juga tidak perlu bertepuk tangan tetapi dikehendaki meletakkan
kedua belah tangan ke pipi masing-masing bagi menguatkan suara. Pada masa kini
persembahan dikir barat menggunakan ensembel yang menggunakan alat terdiri
daripada tetawak, dua biji rebana (ibu dan anak), sepasang rumbia (marakas),
canang dan kerci.
Lagu Dikir Barat yang paling ikonik ialah Wau
Bulan, ciptaan Allahyarham Seman Mamat yang juga dikenali sebagai ‘Seman Wau
Bulan’. Iringan muzik untuk Dikir Barat biasanya terdiri daripada gong, rebana
dikir barat, gendang, maracas dan rebana.
Dikir Barat dahulunya menjadi permainan bagi
mengisi masa terluang dan biasanya dimainkan di atas bangsal yang dibuat
daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa. Namun pada zaman
sekarang Dikir Barat cukup terkenal di seluruh negara dan bukan hanya boleh
dilihat di negeri Kelantan sahaja malah di kaca televisyen. Perkembangan Dikir
Barat sukar diatasi kerana sering menerima perubahan, seperti bentuk
persembahannya, mengikut perkembangan zaman.
Dikir Barat selalu dipersembahkan di kota Kuala Lumpur oleh kumpulan penggiat anak-anak seni dari Kelantan yang menetap di Lembah Kelang sewaktu acara-acara persembahan seni dan budaya di ibu kota.