ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MAH MERI PERKAHWINAN: SEMASA DAN SELEPAS PERKAHWINAN

Majlis perkahwinan dimulakan dengan mengasah gigi kedua-dua mempelai yang bertujuan membuang sial, supaya segala masalah yang mereka hadapi ketika bujang tidak dibawa selepas berkahwin. Ada juga yang menyatakan upacara ini adalah untuk membuktikan bakal pengantin telah benar-benar dewasa dan boleh memikul tanggungjawab masing-masing.
Sehari sebelum persandingan pasangan pengantin dikehendaki melakukan upacara berinai pada sebelah malam yang berlangsung hingga ke pagi dengan selitan acara tari menari. Jari kedua-dua pengantin dimerahkan menggunakan daun inai yang ditumbuk lumat.
Pelamin di hadapan rumah pengantin diperbuat daripada anyaman daun kelapa atau rumbia manakala tiang diperbuat daripada anak kayu yang direka bentuk seperti rumah kecil. Sekiranya suku kaum mendiami rumah panjang maka pengantin bersanding di tengah-tengah ruang untuk dilihat oleh ahli keluarga yang lain. Semasa upacara persandingan semua ahli keluarga menepung tawar pengantin dengan merenjis air mawar dan beras pulut sebagai merestui perkahwinan tersebut. Pelbagai juadah disediakan yang diagihkan kepada para tetamu untuk dimakan bersama wakil kedua belah pihak.
Pakaian pengantin adalah sederhana dan kebanyakannya mengikut pakaian tradisional masing-masing. Pengantin dihias dengan pelbagai aksesori buatan tangan seperti gelang dan kalung yang diperbuat daripada manik-manik beraneka warna. Lilitan kepala diperbuat daripada daun-daun pokok.
Upacara perkahwinan diakhiri dengan memandikan kedua-dua pengantin sebagai tanda mereka selamat dikahwinkan. Setelah itu barulah pasangan tersebut sah sebagai suami isteri. Biasanya pengantin perempuan mendiami rumah pengantin lelaki beberapa hari sebagai tanda hubungan kekeluargaan kedua belah pihak, selain berkenalan lebih rapat dengan saudara dan sahabat handai pasangan.