ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA: PERKAHWINAN: SEBELUM MAJLIS PERKAHWINAN

KAD UNDANGAN
Kad undangan yang dicetak dan disediakan berdasarkan almanak Hindu memainkan peranan penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad disapu serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Sekiranya terdapat kesilapan pada kad bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kepingan kad dalam bilangan ganjil dibawa ke kuil untuk upacara sembahyang atau arccanai. Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa dan pinang sebagai lambang kekayaan. Sirih pinang diberikan sebagai tanda undangan perkahwinan secara rasmi.
PENYEDIAAN THAALI/TJRUMAANGGALYAM
Thaali dikalungkan ke leher kedua-dua pengantin dan upacara ini adalah lambang suci perkahwinan. Thaali dibuat daripada segumpal benang putih disapu kunyit. Jenis thaali berbeza mengikut kasta masyarakat India. Penyediaan thaali bermula tujuh atau sembilan hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
MUKUURTTA KAAL
Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan. Sebatang kayu yang masih muda dan lurus berukuran dua atau tiga meter disediakan. Batang ini berukuran lilit antara 20 hingga 30 sentimeter daripada pelbagai jenis. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin menyapu kunyit cair dan kum-kum pada batang kayu tersebut dari pangkal hingga hujung serta mengikat daun ara atau mangga pada pokok tersebut menggunakan kain berwarna merah, kemudian dipacak sedalam setengah meter dalam kawasan rumah. Sembilan bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Adat ini sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Ahli keluarga pihak perempuan memohon kepada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa sebarang gangguan.