ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA: KELAHIRAN: SEMASA MENGANDUNG

Adat Valaikaappu dilaksana ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan, dilangsungkan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India. Upacara diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan dilakukan oleh kaum wanita Cumanggali, yakni yang telah bersuami dan mempunyai anak.
Wanita hamil tersebut dipakaikan gelang tangan baru diberi nama Suulkaappu untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa ibu bersalin. Suul bermaksud kandungan ibu manakala Kaappu bermaksud perlindungan. Gelang terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan gelang tangan emas akan dileburkan bagi dibuat perhiasan untuk bayi tersebut yang akan dipakaikan pada hari pemberian nama.
Pada hari adat dilaksana hadiah kepada wanita hamil tersebut, yang dipanggil Ciir, diatur di dalam dulang berbilangan ganjil yang diletak di ruang tamu. Hadiah berupa barang kemas termasuk gelang tangan, sari, dan pelbagai manisan. Lampu minyak dipanggil Kuttu Vilakku dihidupkan untuk memohon restu Tuhan dan sebagai memulakan upacara.
Para Cumanggali memulakan upacara dengan menyapu krim cendana pada kedua belah tangan dan pipi wanita hamil, kumkum diletak di dahi dan gelang tangan dipakaikan. Wanita hamil tersebut kemudian dimandikan dengan air seperti air susu, air kunyit, air kelapa muda, air mawar dan bunga-bungaan dalam upacara dipanggil Mutugu Niir/Kulittal. Setelah selesai mandi wanita berkenaan dihias seperti pengantin dengan kalungan bunga-bungaan serta dipakaikan sari perkahwinan atau yang baharu.
Berbagai makanan disediakan seperti nasi, kuih muih dan buah-buahan, serta perhiasan seperti bunga. Makanan yang disediakan juga disuapkan kepada wanita hamil tersebut yang kemudiannya menghadiahkan sirih pinang, kunyit, bunga dan beberapa gelang kepada para Cumanggali.