Gambar

12

Video

tiada

Pelawat Hari ini

4

Jumlah Pelawat

43

Pengenalan dan sejarah

Kurta ialah sejenis pakaian tradisional yang sinonim dengan masyarakat dari Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan. Perkataan kurta mempunyai pelbagai akar bahasa, antaranya daripada bahasa Sanskrit iaitu kurtaka yang bermaksud "baju" atau "tunik panjang" dan dalam bahasa Parsi pula, ia membawa maksud "tanpa kolar". Rekaan asas kurta menampilkan potongan lurus, longgar, dan panjangnya biasanya sehingga paras lutut atau melepasi paha. Pada peringkat awal, kurta dipakai oleh golongan petani dan pekerja kerana sifatnya yang ringkas, ringan, dan selesa untuk dipakai di iklim panas. Namun, seiring perkembangan zaman, pakaian ini turut diterima oleh golongan bangsawan dan istana, dengan variasi yang dihiasi sulaman halus, perincian mewah, serta fabrik yang lebih eksklusif seperti sutera dan linen.

Sejarah kurta dikaitkan dengan kewujudan Tamadun Lembah Indus, di mana bentuk pakaian longgar mula diperkenalkan sebagai adaptasi terhadap iklim tropika dan subtropika yang panas. Perkembangan peradaban Islam serta pengaruh kerajaan Moghul turut memperkukuh kedudukan kurta sebagai pakaian utama dalam kehidupan sosial, keagamaan dan perayaan masyarakat setempat di Asia Selatan. Kurta bukan sahaja menjadi pakaian harian, malah turut dipakai dalam majlis keagamaan, acara perayaan dan istiadat kebangsawanan. Kepelbagaian fungsi ini menjadikan kurta sebagai simbol kesopanan, keselesaan, dan identiti budaya masyarakat Asia Selatan.

Pengenalan kurta ke Malaysia pula berkait rapat dengan kedatangan pedagang India, khususnya komuniti India-Muslim sejak ratusan tahun lalu. Hubungan perdagangan, migrasi dan perkahwinan campur telah membawa masuk pakaian ini ke dalam landskap budaya tempatan. Pada mulanya, kurta lebih sinonim dengan masyarakat India-Muslim di Malaysia, namun lama-kelamaan ia mula diterima dan digayakan oleh pelbagai kaum. Evolusi ini semakin ketara apabila kurta dijadikan pilihan masyarakat Melayu terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri, majlis perkahwinan dan acara rasmi lainnya. Dengan pengaruh pereka fesyen tempatan, kurta di Malaysia mengalami adaptasi reka bentuk agar lebih serasi dengan cita rasa moden, iklim tropika dan gaya hidup masyarakat majmuk.

Kurta di Malaysia bukan lagi sekadar pakaian etnik, tetapi telah menjadi fesyen arus perdana yang melangkaui batas kaum dan agama. Variasi rekaannya merangkumi kurta tradisional yang labuh dan longgar, hinggalah kepada kurta moden dengan potongan lebih kasual, pendek, atau minimalis. Kurta moden kini dipadankan bukan sahaja dengan seluar tradisional seperti pajama atau salwar, malah turut digayakan bersama jeans atau seluar slack, menjadikannya pakaian serba guna yang boleh dipakai sama ada untuk majlis rasmi mahupun santai. Popularitinya semakin meningkat setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, di mana kurta menjadi alternatif kepada baju Melayu bagi lelaki muda yang mengutamakan gaya ringkas, bergaya, dan selesa.

Dengan penerimaan yang meluas, kurta kini menjadi sebahagian daripada identiti fesyen Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian budaya. Ia bukan sahaja melambangkan nilai tradisional yang diwarisi, tetapi juga bukti bagaimana pakaian etnik boleh melintasi sempadan budaya, disesuaikan dengan keperluan semasa dan seterusnya menjadi simbol perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Evolusi kurta daripada pakaian tradisional Asia Selatan kepada fesyen pilihan rakyat Malaysia membuktikan peranan pentingnya dalam memelihara warisan budaya sambil meraikan kepelbagaian dan keharmonian.

Fungsi dan Peranan

Kurta pada asasnya berfungsi sebagai pakaian harian yang ringkas dan selesa, namun di Malaysia fungsinya telah berkembang jauh melebihi peranan asalnya. Antara fungsi dan peranan baju Kurta ini adalah;


  1. Pakaian Perayaan

Fungsi Kurta berkembang melebihi peranan tradisionalnya apabila ia menjadi pilihan lelaki muda yang ingin tampil kemas dan praktikal. Kurta sering dijadikan alternatif kepada baju Melayu ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana rekaannya yang ringkas, tidak memerlukan sampin, dan mudah digayakan dengan seluar moden seperti jeans. Hal ini menjadikan kurta simbol gaya hidup kontemporari yang mengutamakan keselesaan tanpa mengabaikan nilai tradisi.


  1. Pakaian Perkahwinan dan Majlis Keraian

Kurta turut memainkan peranan penting dalam majlis perkahwinan, terutamanya pada acara seperti majlis bertunang atau malam berinai. Kurta yang dipakai untuk majlis sebegini biasanya lebih mewah, menggunakan fabrik eksklusif seperti sutera atau linen, serta dihiasi sulaman, manik, dan motif etnik. Ia bukan sahaja menyerlahkan penampilan pengantin lelaki, tetapi juga memberikan gaya berprestij kepada para tetamu. Dalam konteks ini, kurta melambangkan status, keanggunan, dan nilai estetika budaya.


  1. Pakaian Keagamaan dan Rasmi

Bagi umat Islam di Malaysia, kurta sering dipakai ketika menunaikan solat di masjid, menggantikan jubah atau baju Melayu. Potongannya yang longgar memberi keselesaan dalam beribadah, di samping menutup aurat dengan sempurna. Kurta juga dipakai dalam sesetengah majlis rasmi kerajaan atau organisasi sebagai busana alternatif yang tetap mengekalkan nilai budaya serta identiti masyarakat majmuk Malaysia.


  1. Fesyen Moden dan Kasual

Dalam dunia fesyen masa kini, kurta mendapat tempat sebagai gaya kasual dan moden. Reka bentuknya semakin pelbagai, dengan variasi warna, corak, dan potongan – ada yang ringkas serta minimalis, dan ada yang lebih sofistikated. Kurta pendek sesuai dipakai untuk aktiviti santai, manakala kurta labuh memberi imej elegan dan kemas untuk acara rasmi. Fleksibilitinya menjadikan kurta pakaian yang sesuai merentas situasi, generasi, dan lapisan masyarakat.


  1. Simbol Identiti dan Perpaduan Budaya

Fungsi kurta di Malaysia juga merentas makna pakaian semata-mata. Ia menjadi simbol warisan budaya yang kini dikongsi oleh pelbagai kaum. Populariti kurta di kalangan masyarakat Melayu, India-Muslim, dan kaum lain membuktikan bahawa pakaian ini telah diterima sebagai sebahagian daripada landskap fesyen Malaysia. Dengan ciri versatilnya, kurta berperanan sebagai medium perpaduan budaya serta simbol keharmonian masyarakat majmuk negara ini.


Busana/ Aksesori

Sebagai sebuah pakaian tradisional yang terus berevolusi, kurta tidak hanya berdiri sebagai sehelai baju, tetapi turut dilengkapi dengan busana dan aksesori padanan yang menjadikannya lebih bergaya, beridentiti, dan sesuai dengan pelbagai acara. Antara elemen busana dan aksesori yang sesuai digunakan bersama Kurta adalah;


  1. Seluar Padanan Kurta

  • Seluar tradisional (pajama / salwar / churidar): 

Kurta biasanya dipadankan dengan seluar longgar tradisional seperti pajama atau salwar. Bagi kurta moden, churidar (seluar ketat di bahagian buku lali) turut menjadi pilihan untuk gaya formal dan klasik.


  • Seluar moden (jeans / slack / chinos): 

Di Malaysia, ramai memilih untuk menggayakan kurta bersama jeans, slack atau chinos. Gaya ini lebih kontemporari dan sesuai untuk acara santai, perayaan, mahupun kasual harian.


  1. Kasut

  • Kasut tradisional:

Dalam budaya asal Asia Selatan, kurta sering digayakan bersama kasut jooti atau mojari yang diperbuat daripada kulit dengan hiasan sulaman.


  • Kasut moden: 

Di Malaysia, padanan lebih fleksibel, ada yang memakai sandal, loafers, sneakers, atau kasut kulit untuk penampilan yang lebih bergaya dan sesuai dengan suasana.


  1. Penutup Kepala

  • Songkok: 

Dalam kalangan masyarakat Melayu, songkok menjadi aksesori utama ketika mengenakan kurta semasa Hari Raya Aidilfitri atau acara rasmi keagamaan.


  • Kopiah: 

Lebih kasual berbanding songkok, kopiah sering dipakai ketika solat atau majlis keagamaan.


  • Serban: 

Kurang popular dalam gaya kasual, tetapi masih digunakan dalam konteks keagamaan tertentu untuk melengkapkan busana kurta.


  1. Aksesori Tambahan

  • Selendang atau shawl: 

Walaupun lebih sinonim dengan pakaian wanita, lelaki juga kadangkala menggayakan selendang ringan untuk memberi gaya elegan, terutama dalam majlis perkahwinan.


  • Jam tangan, cincin dan gelang: 

Pemakaian aksesori moden seperti jam tangan, cincin, atau gelang tangan sering digayakan untuk menambah sentuhan peribadi dan moden kepada busana kurta.


  • Butang hiasan (studs atau brooch):

Sesetengah kurta moden hadir dengan butang hiasan atau pin kecil untuk memperindah kolar dan dada kurta.


  1. Variasi Gaya Kurta

  • Kurta pendek: 

Lebih kasual, sering dipakai bersama jeans atau seluar khaki.


  • Kurta labuh:

Memberi gaya elegan, sesuai untuk majlis rasmi atau perkahwinan.


  • Kurta bercorak:

Menggunakan motif batik, songket, atau sulaman moden yang menambah nilai identiti tempatan dalam fesyen Malaysia.


Peralatan/ Bahan-Bahan


Pemilihan fabrik merupakan elemen penting dalam pembuatan kurta kerana ia bukan sahaja menentukan tahap keselesaan pemakai, tetapi juga mempengaruhi rupa, gaya, serta nilai estetik pakaian tersebut. Fabrik yang digunakan untuk menghasilkan kurta biasanya dipilih berdasarkan tujuan pemakaian sama ada untuk harian, acara santai, keagamaa mahupun majlis rasmi.


  1. Kapas 

Kapas ialah bahan paling popular untuk kurta harian. Ia ringan, mudah menyerap peluh, dan sangat selesa dipakai, menjadikannya pilihan ideal untuk iklim tropika Malaysia yang panas dan lembap.


  1. Sutera 

Sutera digunakan untuk menghasilkan kurta eksklusif dan mewah, khususnya bagi majlis perkahwinan, acara formal, atau perayaan. Fabrik ini mempunyai kilauan semula jadi yang anggun dan sering dihiasi dengan sulaman halus menggunakan benang emas atau perak.


  1. Linen

Linen merupakan pilihan yang elegan dan selesa. Fabriknya yang bertekstur memberi rupa santai namun sofistikated, sesuai dipakai untuk majlis kasual atau semi-formal.


  1. Brocade

Brocade ialah fabrik tenunan yang menampilkan corak timbul dan memberikan penampilan mewah. Kurta brocade sering dipilih untuk acara perkahwinan atau majlis penting kerana rekaannya yang penuh keanggunan.


  1. Poliester / Campuran Moden

Fabrik poliester atau campuran moden digunakan dalam pembuatan kurta kontemporari kerana ia lebih tahan lasak, tidak mudah renyuk, dan mudah dicuci.


  1. Fabrik Bercorak Tempatan

Selain fabrik asas, kurta moden di Malaysia juga mengadaptasi penggunaan tekstil tempatan seperti batik, songket, dan tenun. Fabrik ini bukan sahaja menambah nilai estetik tetapi turut memperkuatkan identiti budaya tempatan dalam busana kurta.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

MAKAIAN

Kurta ialah pakaian yang versatil dan mudah digayakan, sesuai untuk pelbagai suasana daripada harian santai hingga ke acara rasmi. Cara pemakaiannya bergantung kepada jenis kurta, padanan seluar, serta aksesori yang melengkapkan penampilan.


  1. Gaya Tradisional

Kurta dalam gaya tradisional biasanya dipadankan dengan seluar longgar seperti pajama, salwar, atau churidar. Kombinasi ini memberikan penampilan yang otentik, formal, dan selesa, menjadikannya pilihan utama untuk tujuan keagamaan, perayaan, serta majlis istiadat. Pemakaian kurta dalam gaya ini mengekalkan keaslian budaya sambil menonjolkan kesopanan dan nilai tradisi.


  1. Gaya Moden

Dalam konteks moden di Malaysia, kurta sering digayakan dengan seluar jeans, slack, atau chinos untuk penampilan lebih kasual dan kontemporari. Kurta pendek atau bercorak ringkas sangat sesuai dipadankan dalam suasana santai, manakala kurta labuh daripada fabrik mewah seperti sutera, linen, atau brocade lebih sesuai untuk majlis rasmi dan perayaan. Fleksibiliti ini menjadikan kurta pakaian serba guna yang mudah disesuaikan mengikut acara.


  1. Aksesori

Penampilan kurta turut disempurnakan dengan pelbagai aksesori. Songkok dan kopiah sering dipakai ketika sambutan Hari Raya atau majlis keagamaan, manakala serban menambah elemen religius dalam acara tertentu. Dari segi kasut, kurta boleh dipadankan dengan jooti atau mojari untuk gaya klasik, atau dengan loafers, sandal, dan sneakers untuk gaya moden. Aksesori tambahan seperti jam tangan, butang hiasan, atau selendang ringan turut memberikan sentuhan peribadi dan menjadikan kurta lebih bergaya.


Sumber Rujukan


  1. Bahan Bacaan

Mohamad, M., & Abdullah, R. (2020). Perbezaan budaya pakaian [Conference paper]. ResearchGate. https://www.researchgate.net/publication/341685405_Perbezaan_Budaya_Pakaian

Richart by Suhani. (n.d.). The evolution of kurta pajama: A journey through tradition and modernity. Richart by Suhani. Retrieved September 14, 2025, from https://richartbysuhani.com/blogs/news/the-evolution-of-kurta-pajama-a-journey-through-tradition-and-modernity

Scribd. (n.d.). Pakaian tradisional kaum di Malaysia. Scribd. Retrieved September 14, 2025, from https://www.scribd.com/document/413264738/Pakaian-Tradisional-Kaum-Di-Malaysia

Shree Kama. (n.d.). The history and evolution of the kurta: A timeless garment. Shree Kama. Retrieved September 14, 2025, from https://www.shreekama.com/en-intl/blogs/fashion-tips/the-history-and-evolution-of-the-kurta-a-timeless-garment


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
  • Amsalib Bin Pisali (Penulis/Penyunting)
  • Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris
  • +60198974847
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Encik Yufazli Yusof

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak
Kompleks JKKN Perak, Lot 20561@20565 Jalan Caldwell, Off Jalan Raja Di Hilir, 30350 Ipoh, PERAK DARUL RIDZUAN

05-253 7001 / 05-254 1027

Kembali Ke Atas