Umai merupakan makanan tradisional kaum Melanau yang berasaskan makanan laut terutamanya ikan dan udang. Bahan asas umai ialah ikan mentah bagi tujuan menyediakan umai ikan manakala udang mentah akan digunakan bagi menyediakan umai udang. Bagi membuat umai ikan, kaum Melanau sering memilih ikan parang, ikan bawal putih, ikan empirang, ikan yu dan ikan terubuk. Sementara bagi umai udang pula, biasanya udang biasa bersaiz kecil menjadi pilihan utama. Ikan dan udang ini perlu disiang dan dibersihkan serta digaul bersama bahan-bahan lain yang terdiri daripada bawang merah, bawang besar, cili, jus limau, dan halia serta bahan-bahan sampingan yang lain mengikut cita rasa sendiri. Jika umai yang menggunakan bahan asas ikan, biasanya isi ikan akan dihiris halus terlebih dahulu. Bawang merah, bawang besar, bawang putih, cili dan halia pula perlu ditumbuk dan dilumatkan untuk digaul sebati dengan hirisan isi ikan yang telah disediakan. Begitu juga jika menggunakan udang kecil sebagai bahan asas umai, udang perlu digaul sehingga sebati dengan bahan yang telah ditumbuk atau dikisar untuk memberikan perisa kepada isi ikan dan udang tersebut. Sementara jus perahan limau boleh memberi rasa masam untuk menambah keenakan kepada umai berkenaan. Kuantiti jus yang diperlukan adalah mengikut selera masing-masing, namun pada dasarnya rata-rata penyedia umai memilih untuk menjadikannya sedikit pedas dan masam secukup rasa.
-
-
Bagi umai ikan, bahan utama ialah ikan parang, ikan bawal putih, ikan empirang, ikan yu dan ikan terubuk. Sementara bagi umai udang, biasanya udang biasa bersaiz kecil. Bahan lain terdiri daripada bawang merah, bawang besar, bawang putih, cili, jus limau, dan halia.
-
-
-