PUAN HAJAH WAN SALMAH BT. WAN SULAIMAN (MAMI)

Beliau mesra dipanggil Mami adalah penerima Anugerah Tokoh Seni Terengganu 2016. Kepakaran utama beliau ialah seni tari dan nyanyian dalam kesenian muzik gamelan. Sering menjadi pakar rujuk terutama dalam pengkajian Tarian Gamelan oleh pelajar IPT. Beliau mula aktif menari dan menyanyi setelah menyertai Persatuan Belia Darul Ehsan (1958) hingga tertubuhnya SUKTRA pada 1 April 1974. Turut menyertai Royal Court Dance (1969) yang memperjuangkan kesenian Gamelan. Penglibatan dalam tarian dan nyanyian Gamelan bermula 1970 telah membawanya ke banyak negara. Dalam tarian, bersama kumpulannya pernah merangkul Johan Tarian anjuran MAYC (1961,1962), Johan Tarian anjuran KKBS (1968), Pelakon Terbaik Pertandingan Drama Peringkat Negeri Terengganu anjuran KKBS (1972) & bersama SUKTRA menyertai 9 ASEAN ARTS FESTIVAL di Hong Kong (1984). Sepanjang penglibatan dalam SUKTRA (1974-1990 ) telah dilantik sebagai Penolong Jurulatih (Gamelan) & Jurulatih Tarian Asas. Di atas jasa bakti memperjuangkan kesenian Gamelan, beliau telah dikurniakan darjah kebesaran PJK, PPN & AMT oleh Sultan Terengganu.