Mohd Dawam bin Wasidin

Mohd
Dawam bin Wasidin merupakan tokoh seni tari Perak. Dilahirkan 15 Mei 2952 di
Bagan Datok. Bergiat lebih 35 tahun dalam bidang seni tari bermula tahun 1978
sehingga kini. Beliau merupakan seorang penari kumpulan Selendang Perak di
bawah pentadbiran kerajaan negeri sejak tahun 1986 – 2000.
Sepanjang penglibatan beliau dalam seni tari negeri Perak, beliau sering diberikan kepercayaan mewakili Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Perak sebagai jurulatih dan penari bagi pertandingan tarian peringkat negeri, daerah dan zon tengah (1983 – 1995). Pada tahun 1998 sehingga 2008, beliau telah diberikan kepercayaan mewakili MAKSAK negeri Perak ke peringkat kebangsaan dalam pertandingan permainan tradisional dengan pencapaian 5 kali johan peringkat negeri Perak, 2 kali naib johan kebangsaan dan 3 kali tempat ketiga kebangsaan. Beliau juga pernah membuat persembahan di luar negara antaranya Perancis dan Turki.
Figura ini juga merupakan jurulatih tari Badan Budaya Perak sejak tahun 1982 dan sering menjadi panel pengadil dalam bidang seni tari. Beliau turut pernah terlibat dalam mengelola persembahan dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak Darul Ridzuan di Istana Kuala Kangsar sejak tahun 1985 – 2000. Selain bidang tari, beliau juga aktif dalam penglibatan seni teater bersama Badan Budaya Perak sejak tahun 1978 sehingga kini.
Mohd Dawam bin Wasidin merupakan ahli seumur hidup Badan Budaya Perak sejak 1978 dengan memegang beberapa jawatan seperti Bendahari (1991), Ketua Biro Seni Tari (1982 – 1991), Naib Pengerusi (2001 – 2008) dan Timbalan Pengerusi (2009 – kini).