Mohd Yusop @ Najmi bin Othman

Mohd
Yusop @ Najmi bin Othman merupakan tokoh seni budaya di Perak. Beliau
dilahirkan di Kg Kepala Pulau, Pasir Salak pada 1 Julai 1949. Beliau mula
menyanyi ketika berusia 10 tahun (Darjah 4) dengan mendendangkan lagu berjudul 'Anak
Derhaka' sempena persembahan drama “Anak Derhaka” di Sek. Keb. Selat Pulau,
Pasir Salak 1958.
Pada tahun 1959, beliau telah diberi peluang menjadi penyanyi Kumpulan Pancaragam Guru-Guru Hilir Perak. Bakat beliau terus menyerlah dan diberi peluan menjadi penyanyi beberapa kumpulan antaranya Pancaragam Cahaya Baru Polis Parti Teluk Anson/Teluk Intan (1961), dan penyanyi kugiran Pop Yeh-Yeh “Rhythm Blues/Les Ayu” dan aktif bermain di sekitar Sg. Perak (1967). Beliau juga giat beraktiviti bersama Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Hilir Perak (1965 – 1966). Beliau juga merupakan penyanyi lagu-lagu rakyat Perak dan pernah merakam dan menerbitkan album Lagu-Lagu Rakyat Perak pada tahun 2014 terbitan JKKN.
Selain bidang nyanyian, beliau juga pernah menjadi pelakon sambilan drama TV dan radio antaranya pelakon drama “Antara Kasih dan Simpati” yang diterbitkan oleh Murali Production, pelakon drama “Rosman Romario” terbitan Adfield Film, pelakon drama “Durian Pinang” arahan Mamat Khalid, pelakon drama “Sampoy Corner” terbitan Adfield Film dan watak Tauke Lim dalam drama “Cucu Wan Lebor” arahan Mior Hashim Manap. Beliau juga sering diundang menjadi pengacara majlis. Figura ini juga sering menggalas tanggungjawab sebagai pengarah persembahan, pengurus acara, pengurus produksi, pengarah teater dan penerbit.
Beliau merupakan Mantan Pengerusi Badan Budaya Perak (1994 – 2008), dan terkini menggalas tanggung jawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak (MKN Perak) 2010 sehingga kini. Selain itu beliau juga merupakan Yang Dipertua Majlis Teater Negeri Perak (TEMA) 2010 sehingga kini, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta, Perak 2010 sehingga kini, dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Permainan Tradisional Warisan Serantau Perak (PEWARIS) 2000 sehingga kini.
Figura ini juga merupakan Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) bidang Teater, dan sering dilantik sebagai juri dan pengadil pertandingan teater dan muzik (nyanyian) seperti di World Festival Royal Belum Perak dan Drum and Percussion Challenge 2013. Beliau juga bertindak sebagai fasilitator dan aktivis puisi tradisional, nazam, gurindam, syair, seloka, pantun dan puisi moden. Pada tahun 2013, Mohd Yusop @ Najmi bin Othman telah menerima Anugerah Penggiat Seni Negeri Perak daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.