CENDOL

Cendol ialah
hidangan pencuci mulut. Ramuan asas adalah beras pulut dijadikan jeli hijau,
santan, gula melaka dan air batu. Boleh juga ditambah dengan bahan lain seperti
kacang merah, jeli hitam, dan jagung.
Bagi menyediakan jeli hijau tepung beras pulut dicampur dengan air jernih daripada mendapan kapur sirih. Masak air sehingga menggelegak kemudian masukkan tepung beras pulut dan kacau hingga pekat. Adunan tadi dimasukkan ke dalam acuan yang bahagian bawahnya terdapat beberapa lubang bersaiz kecil, kemudian ditekan supaya keluar melalui lubang-lubang tersebut dan jatuh ke dalam bekas air sejuk di bawah bekas acuan berkenaan. Air dalam bekas ini perlu sentiasa sejuk bagi mengekalkan bentuk jeli.
Secara tradisional jeli biasanya diwarnakan dengan air daun pandan bagi menghasilkan warna hijau. Warna lain juga boleh digunakan mengikut kesukaan masing-masing. Cendol biasanya dihidangkan bersama campuran air batu, air gula melaka dan santan. Kini ditambah pula pulut dan susu isian manis serta buah-buahan.