PERMAINAN TRADISIONAL KERCANG

Kercang adalah sejenis alat permainan
tradisi Melayu lama. Alat permainan ini biasanya diperbuat dari rotan yang
disusun secara berlapis-lapis mengikut peringkat kesukarannya. Peringkat
pertama adalah yang paling mudah diikuti peringkat kedua, ketiga dan
seterusnya.
Permainan ini adalah popular dalam
kalangan orang Asli dan orang Melayu yang tinggal di sekitar dan di sekeliling
hutan Endau Rompin pada suatu masa dahulu. Tapi kini masyarakat Melayu telah
melupainya dan hanya dimainkan sekali-sekala dalam kalangan orang Asli seperti
etnik Jakun apabila ada pelawat luar sebagai pertunjukan.
Falsafah permainan ini ialah mencari
jalan keluar dari tersesat di hutan. Tali yang boleh digerakkan di antara
lapisan-lapisan rotan diumpamakan seperti pengembara yang kesesatan di hutan
menyusup dan melangkah halangan untuk keluar dari kesesatan itu.
Lapisan-lapisan rotan itu pula disimbolkan sebagai keadaan mukabumi yang
terdapat di hutan seperti lurah, gaung, permatang dan sebagainya. Pemain yang
paling dulu berjaya membebaskan tali yang terperangkap ditengah-tengah lapisan
kercang dianggap memenangi pertandingan dalam permainan ini.