KUIH CHANG NYONYA

KUIH CHANG NYONYA

Kuih Chang Nyonya adalah merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat Peranakan Baba Nyonya. Kuih ini juga dikenali sebagai “Bak Chang”. Perkataan ‘Bak’ bermaksud daging. Kuih ini diperbuat daripada beras atau pulut yang dibungkus dengan daun buluh. Kuih Chang Nyonya berintikan daging, cendawan shitake dan gula kundur serta dimasak bersama rempah ratus yang menaikkan aroma menyelerakan.

Bahan-bahan untuk membuat Kuih Chang Nyonya adalah:

• Isi ayam cincang

• Cendawan shitake

• Gula kundur

• Beras pulut

• Daun buluh kering

•Tali pengikat

• Lada sulah

• Garam

• Bawang merah

• Kicap pekat

• Tauchu

• Bawang putih

• Air bunga telang

• Daun pandan

• Ketumbar

Cara membuatnya adalah dengan merendam terlebih dahulu daun buluh semalaman dan direbus supaya daun buluh akan menjadi lembut. Kemudian, beras pulut yang telah direndam akan dikukus di atas api terlebih dahulu dan setelah diikat nanti akan direbus selama tiga hingga empat jam. Biasanya, daun buluh yang digunakan datang dalam pelbagai saiz bergantung kepada citarasa si pembuat. Warna Kuih Chang Nyonya yang membezakan ia dengan Kuih Chang lain adalah warna biru memukau hasil dari pati air bunga telang yang di gaul bersama pulut. Kuih Chang kosong yang tiada inti pula dipanggil Kee Chang atau kuih chang “Abu” kerana dimasak menggunakan air abu. Ia sedap dicecah atau dimakan dengan gula pasir atau gula Melaka.

Kebiasaannya kuih ini dijual pada waktu pagi. Kuih ini bukan sahaja dinikmati kaum Baba Nyonya sebagai menu sarapan, tetapi juga dinikmati oleh pelbagai kaum yang ada di Malaysia terutamanya apabila tiba musim perayaan Kuih Chang yang sering berlangsung seiring dengan Pesta Perahu Naga. Walaupun proses pembuatan Kuih Chang ini agak rumit tetapi tekstur dan keunikan serta rasanya yang begitu sedap memukau menyebabkan ianya mendapat permintaan yang sangat tinggi. Anggaran harga Kuih Bak Chang adalah antara RM5 sebiji atau lebih mahal, bergantung pada inti yang digunakan.

 

016-7119894

Usahawan (Perusahaan Kuih Chang Halal)

Hairul Asraf bin Abu Hussain

No. 18, Jalan Duku 5, Taman Rumpun Bahagia,

75300 Bachang

Melaka