TUAN HAJI MORAD IBRAHIM

Tuan Haji Morad Ibrahim, dilahirkan pada 30
Disember 1937 di Pekan Lama, Sungai Petani, Kedah. Memulakan pendidikan awal di
Sekolah Melayu, Bakar Kapur, Sungai Petani, Kedah. Namanya begitu sinonim
dengan pementasan teater tradisional dan amat di segani oleh para aktivis
teater dan merupakan penggiat Teater Tradisional Bangsawan dari Kedah serta
pakar rujuk teater tradisional khususnya Bangsawan di Malaysia.
Seawal usia 12 tahun, Haji Morad telah
mengenali bangsawan menerusi bapa saudaranya yang bergelar Saad Bangkai yang
merupakan pelakon komedi wayang United Malay Opera. Beliau mula diperkenalkan
kepada pemilik wayang United Malay Opera menerusi bapa saudaranya, Haji Morad
diterima berkerja sebagai penarik tirai dan tukang sapu pentas, di samping
membuat beberapa dekorasi pentas.
Pada tahun 1950, Haji Morad mula melibatkan
diri dengan serius dalam bangsawan bermula dengan kumpulan Cinderella Bangsawan
di bawah pimpinan Zeera Agus. Pada masa yang sama beliau juga turut
berkecimpung dalam kumpulan sandiwara pimpinan M Suki dengan di bantu oleh
anaknya Nurani Muti. Tuan Haji Morad Ibrahim telah menubuhkan Kumpulan
bangsawan Seri Kedah bagi memastikan kelangsungan bangsawan di negara ini.
Biarpun kini usianya telah menjangkau lebih 80 tahun, beliau masih gigih
memperjuangkan kesinambungan pementasan bangsawan.
Sumpah dan darah di Teluk Amboi dan Bahtera
Emas Lapis Suasa merupakan karya mutakhir beliau yang menemui khalayak pada
tahun 2008 kemudian diikuti dengan bangsawan ‘Mahsuri’ (2009), bangsawan ‘Puteri Selindungan Bulan’ (2011) dan bangsawan
‘Tragedi Hikayat Merong Mahawangsa’(2012). Tebaru pada tahun 2013, Kumpulan
Bangsawan Seri Kedah telah berjaya mementaskan bangsawan ‘Wan Anum’ secara
keliling di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Pementasan bangsawan ini
adalah dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Bangsawan ‘Puteri
Selindungan Bulan’(2014) dan Bangsawan ‘Tun Teja’ (2015).
Sebagai mengenang jasa beliau yang telah
memberi sumbangan terhadap bidang teater dan bangsawan serta turut mengharumkan
nama Negeri Kedah Darul Aman beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian
(P.J.K), Ahli Mangku Kedah (A.M.K), Ahli Mangku Negara (A.M.N) dan Pingat
Khidmat Lama (P.P.L), Anugerah Khas Festival Teater Malaysia 2016.