MOHAMAD PUZI BIN A HADI

MOHAMAD PUZI BIN A HADI

Puzi Hadi atau nama sebenarnya Mohamad Puzi Bin A Hadi dilahirkan di Bukit Awi, Kulim, Kedah pada 9 Mei 1951. Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Kulim, Kedah dan Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya di Sekolah Kebangsaan Chowrasta dan Sekolah Menengah Abdullah Munshi. Terakhir di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur.

Mengikuti pengajian luar kampus USM Pulau Pinang dan menerima ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) pada tahun 1988. Beliau merupakan seorang Pesara Penolong Pegawai Perubahan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selepas berkhidmat selama 36 tahun di Pusat Tibi Negara, Kuala Lumpur; Hospital Alor Setar; Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Perlis; dan terakhir di Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Sepanjang penglibatan dalam bidang sastera, beliau telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia (Puisi) Tahun 1984/85 melalui puisi "Shauqiyah Hanim". Beliau telah menghasilkan enam antologi puisi, iaitu Bujang (1 975), Bak Ombak (Teks Publishing Sdn. Bhd., 1988), Lokomotif (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991), Dot Dot Dot (E-Sastera Enterprise, 2012), Sudoku Puisi (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2016) dan Puisi Siber Dari Henfon ke Laman Sesawang & Facebook (ESastera Enterprise, 2016). Tiga buku esei sastera ialah Karya dan Karyawan: Sepintas Lalu (Majlis Kebudayaan Negeri Kedah, 1991) dan Aktivis dan Aktivitas E-Sastera Malaysia (E Sastra Management Enterprise, Jakarta, 2014) dan Deklamasi Puisi (ESastera Enterprise, 2016).

Beliau juga merupakan johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah dan Peringkat Kebangsaan (1987), dan turut dilantik sebagai Hakim Peringkat Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan sejak tahun 2000 hingga 2007 dan 2013 dan 2014. Berpeluang mendeklamasikan puisi di luar negara antaranya Pesta Puisi Asean '78 (Jakarta, 1978), Pesta Puisi Asia '87 (Dhaka, Bangladesh, 1987) dan Baca Puisi Dua Negara Il (Singapura, 1989). Bersama penyair Awang Abdullah mengikuti Program Penataran Penciptaan Sastera DBP selama satu bulan di Jakarta pada Oktober 1991.

Pada tahun 2013, beliau menerima pentauliahan Munsyi Dewan (Sastera) daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau merupakan Ketua Dua ASASI (2015-2019) dan telah dipilih sebagai Ketua Satu ASASI bagi penggal 2019-2021 dalam Mesyuarat Agung ASASI kali ke-44 pada 16 Februari 2019.

Menerima Anugerah Khas Kegiatan Dampak Tinggi (Ulasan Puisi) dan hadiah sagu hati Anugerah Puisi Alam Siber (APAS). Menerima Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) 2013 sempena Hadiah eSastera.com (HesCom) Edisi Bali, Indonesia pada 11 November 2013. Menerima Anugerah Prestasi Dampak Tinggi: Saujana Penerbitan pada HesCom 2014. Pada 5 Disember 2015, Puzi Hadi telah menerima anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS) dari E-SASTERA di majlis Hadiah E-Sastera.com (HesCom).

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Kedah menganugerah Puzi Hadi sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Kedah 2016 di JKKNK Alor Setar pada 8 Disember 2016 serta Anugerah Sanjung Budi Sastera daripada Yayasan Tunku Kassim, Negeri Kedah (2018).

JKKN Kedah - 04 - 731 5930

2933-R, Taman Muhibbah, 

Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, 

05350 Alor Setar, Kedah 

E-mail: Puzi.hadi@yahoo.com