SITY RAMLAH BINTI MD SOTAN @ RAFTAH BACHIK

Figura ini pernah menganggotai lima (5)
kumpulan muzik antaranya Orkes Rangkaian Seni Pelabuhan Klang (1960-1962),
Kugiran ‘Fabulous Storm’ (1963-1969), Kombo KTM Kuala Lumpur (1975-1999),
Kumpulan Badan Budaya Seri Kayangan (1980-1984) dan Gema Irama (tahun 2000 sehingga kini).
Pada tahun 1965, Raftah Bachik telah mula
menyertai pertandingan nyanyian sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di peringkat
Daerah Pelabuhan Kelang dan mendapat tempat sebagai Naib Johan. Rangsangan
daripada pencapaian tersebut, Raftah Bachik telah menyertai Bintang Radio Asli
peringkat kebangsaan pada tahun 1966 dan mendapat gelaran Johan. Mengorak
langkah sebagai artis profesional, Raftah Bachik telah merakamkan banyak album
lagu- lagu tradisional termasuk lagu- lagu Melayu Asli.
Mempunyai pengalaman dalam bidang seni
khususnya lagu-lagu Melayu Asli dan tradisional cukup untuk melayakkan Raftah
Bachik diberi pengiktirafan. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Seni
Budaya Wanita Selangor pada tahun 2007 selain menerima Pingat Jasa Bakti (PJK)
pada 14 Disember 2002 oleh DYMM Sultan Selangor. Pada tahun 2014, beliau telah
menerima Tokoh Seni Budaya Negeri Selangor daripada Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara (JKKN).
Beliau juga sering dijemput sebagai juri dan fasilitator pertandingan nyanyian antaranya, Mentor Pertandingan Bintang Keroncong Negeri Selangor pada tahun 2006, Fasilitor Bengkel Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Selangor 2007, tenaga pengajar Bintang Keroncong Negeri Selangor 2005, juri Pertandingan Lagu Melayu Asli MAKSAK 2005, juri Lagu Melayu Asli Kebangsaan dan banyak lagi. Beliau juga merupakan mentor dan pakar rujur kepada perintis Kumpulan Keroncong pelajar UiTM Shah Alam melalui program Perantisan yang dilaksanakan oleh JKKN pada tahun 2014.
Raftah Bachik atau nama sebenarnya Sity Ramlah
binti Mohd Sotan merupakan salah seorang tokoh yang memperjuangkan irama
tradisional khususnya lagu Melayu Asli dan irama keroncong di Malaysia. Beliau
dilahirkan di Pelabuhan Kelang pada tanggal 18 Februari 1949 hasil perkongsian
hidup Mohd Sotan bin Din dan Halimah binti Hamid. Walaupun ayahnya berasal
daripada Bukit Mertajam Pulau Pinang, namun keluarganya telah bertapak di
Pelabuhan Klang, Selangor sejak berpuluh tahun lalu.
Raftah Bachik mendapat pendidikan awal di Sekolah
Rendah Kampung Raja Uda, Pelabuhan Kelang. Bermula seawal usia 11 tahun beliau
telah melibatkan diri dalam bidang seni khususnya lagu- lagu Melayu Asli. Pada
usia 14 tahun beliau berpeluang merakam suara di radio dan televisyen.
Sejak suaminya telah meninggal dunia, beliau
mengambil keputusan untuk tidak begitu aktif lagi di dalam bidang seni suara.