NOBAT DALAM ADAT ISTIADAT DIRAJA KEDAH

NOBAT DALAM ADAT ISTIADAT DIRAJA KEDAH

Pengenalan/Sejarah/Asal-Usul/Ciri-Ciri

Nobat adalah cabang seni muzik tradisi Malaysia. Negeri-negeri yang mempunyai kumpulan alat muzik ini iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor. Nobat Kedah dipercayai salah satu yang tertua dalam kesultanan Melayu. Menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, Nobat berasal dari Parsi yang dikatakan dibawa masuk bersama-sama kedatangan Maharaja Derbar Raja.

Nobat terdiri daripada tiga jenis alat muzik iaitu semambu yang dinamakan mahaguru, nagara& (atau nakara atau nahara) iaitu gendang kecil, dan nafiri iaitu sejenis serunai. Ketiga-tiga alat kebesaran ini dimainkan pada setiap 1hb, 15hb dan 30hb setiap bulan, semasa bulan gerhana, dan sewaktu berlaku kemangkatan raja atau pada hari kemuliaan.

Oleh kerana permainan ini dianggap keramat dan penuh pantang larang, pemain Nobat selalu dirujuk sebagai orang perantaraan bagi tujuan memohon pertolongan dan membayar nazar. Seringkali juga mereka berperanan sebagai dukun atau pawang.

Upacara nazar dilakukan pada hari Jumaat dan dibayar dengan nasi kunyit dan ayam. Nasi kunyit dicalit serba sedikit pada semua alat Nobat seolah-olah menjamu alat Nobat tersebut. Kini amalan menjamu alat Nobat tidak lagi dilaksanakan kerana bertentangan dengan agama.

Peralatan Muzik

Terdapat enam jenis alat muzik dalam Nobat Diraja Kedah, iaitu:

1. Serunai

2. Nafiri

3. Nahara

4. Gendang ibu

5. Gendang anak

6. Gong

Satu lagi peralatan ialah mahaguru, dikenali juga sebagai semambu iaitu sebatang rotan semambu yang dijadikan cokmar sebagai simbol kekuasaan Raja. Rotan sepanjang 1.77 meter ini dibalut dengan kain kuning dan dipegang oleh Penghulu Nobat menghadap kumpulannya ketika persembahan. Alat-alat muzik ini dimainkan oleh para pemuzik yang dipilih khas dalam satu keturunan keluarga sahaja dikenali sebagai orang kalur, dan mereka memainkan lagu-lagu yang telah diwarisi.

 Lagu Nobat

Tiga lagu Nobat dimainkan dalam Istiadat Pertabalan, iaitu:-

1. Raja Berangkat

(Dimainkan semasa Seri-Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat masuk ke Balairong Seri atau meninggalkannya).

2.Menjunjung Duli

(Dimainkan semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairong Seri).

3. Raja Bertabal

(Dimainkan selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja).

Ada juga lagu yang hanya dimainkan pada sebelah pagi dan petang di luar acara rasmi diraja atau kerajaan, seperti Nobat Subuh, Nobat Khamis dan Nobat Raja. Juga lagu Puteri Mandi Mayang, yang dimainkan semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan pada petang 28hb, 29hb dan 30hb Syaaban. Lagu-lagu yang diwarisi pula antaranya Raja Burung, Belayar, dan Mala Wala.

Pantang Larang Nobat

Nobat juga terikat dengan pantang larang yang mesti dipatuhi oleh pemain dan orang ramai. Antaranya ialah alat muzik ini tidak boleh dipersendakan dan kedudukannya mesti tetap pada susunannya. Sebagai contoh, gendang nahara mesti diletakkan mengadap arah matahari terbit. Bukan pemain tidak dibenarkan memegang atau mengusik alat-alat tersebut. Semasa Nobat hendak dimainkan pemain-pemain mestilah mengikut jalan masing-masing ke tempat alat-alat itu dan barulah duduk. Sesiapa juga dilarang melihat permukaan bawah gendang naharayang dipercayai diperbuat daripada kulit ibu mengandung. Dikatakan bencana akan menimpa pada yang melanggar kesemua pantang larang ini.

Alat Nobat tidak boleh dimainkan untuk temasya atau keramaian biasa dan tanpa perkenan raja. Pemain Nobat juga dilarang mengajar semua lagu kepada penggantinya. Keadaan ini menjelaskan sebab lagu-lagu Nobat semakin berkurangan dalam setiap generasi.

Pengaruh Nobat Dalam Adat Istiadat Diraja Kedah

Nobat dipercayai dapat menguji kedaulatan seseorang Sultan. Seandainya Sultan yang ditabalkan itu tidak berdaulat baginda dipercayai akan jatuh sakit. Selain upacara pertabalan, Nobat juga dimainkan sewaktu adat-adat istiadat perkahwinan diraja, berlimau, permaisuri bersalin, dan meletak kerja, serta semasa kemangkatan Sultan.


 

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,Kedah

Kompleks JKKN Kedah,
Lot PTD 400,

05250 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Tel : 04-731 5930 Fax : 04-733 8128