KITAB TIB
Ilmu berkaitan perubatan Melayu telah lama
wujud dan lazimnya diwarisi dari generasi ke generasi secara lisan. Walau
bagaimanapun terdapat sebilangan manuskrip yang mengandungi catatan dan
penulisan berkenaan ilmu perubatan yang menjadi bukti kearifan masyarakat
Melayu dalam bidang ini sejak berzaman dahulu. Manuskrip perubatan Melayu ini
juga dikenali sebagai kitab tib.
Kitab tib bermaksud ‘kitab ubat’, ‘kitab
perubatan’ atau ‘ilmu perubatan’. Perkataan ‘tib’ adalah perkataan bahasa Arab
yang bermaksud ‘ubat’, ‘tukang ubat’, ‘perubatan’, ‘surat ubat’
(wasfatu’t-tabib) atau ‘ilmu perubatan’(ilmut’tab).
Pada dasarnya kitab tib adalah catatan
berkenaan ilmu perubatan tradisional Melayu yang merangkumi antaranya perkara
berkenaan pengenalan kepada ilmu tabib, petua-petua umum untuk penjagaan
kesihatan diri, jenis-jenis penyakit sama ada penyakit yang berhubung jin dan
syaitan atau penyakit umum, bahan dan khasiatnya untuk pengubatan dan
pemakanan. Selain itu terdapat juga naskhah yang turut membicarakan hal-hal
lain iaitu bidang yang berkaitan rejang, raksi dan cuca iaitu bidang yang
tergolong dalam ilmu nujum dan ramalan dan ilmu tanaman.
Terdapat sekitar 100 buah kitab tib tersimpan
dalam pelbagai koleksi di serata dunia antaranya ialah di Perpustakaan Negara
Malaysia, Dewan Bahasa & Pustaka, muzium negeri, perpustakaan universiti
serta terdapat juga koleksi di luar negara seperti di Jakarta, Leiden dan
London.
Kitab tib terdiri dari pelbagai bentuk, saiz dan keadaan, antaranya mempunyai saiz helaian kertas yang besar dalam bentuk lipatan contohnya manuskrip MSS 1073 ditulis pada kertas besar yang dilipat dalam bentuk akordian, MSS 1078 ditulis di atas kulit kambing dan MSS 1496 ditulis di atas kepingan buluh. Gaya bahasa Melayu yang digunakan adalah dari zaman pertengahan, iaitu tidak terlalu purba atau kuno. Kitab tib ini ditulis tangan dalam tulisan jawi yang terhasil seawal sekitar abad ke-15 hingga ke-16 dan selewat-lewatnya pada awal abad ke-20. Kebanyakan kitab tib ini disalin untuk digunakan sebagai manual atau rujukan para bomoh atau pengamal perubatan tradisional dahulu.
Kitab tib mempunyai ciri-ciri yang unik dalam
skop pembicaraan atau isi kandungannya. Selain dalam bentuk prosa,
penyampaiannya juga terdapat dalam bentuk syair contohnya “Syair Laksana Kita”
yang terdapat dalam MSS 2590 dan juga dalam bentuk hikayat seperti yang
terdapat dalam MSS 1792 yang berjudul “Hikayat Nurul-Lisan Menjawab Masalah”.
Kitab tib turut membincangkan tentang penyakit yang berkaitan spiritual
contohnya penyakit yang disebabkan gangguan makhluk halus, sihir, perhubungan
lelaki dan perempuan dan sebagainya selain daripada perihal sakit biasa seperti
demam, penyakit kulit dan lain-lain yang boleh dilihat secara fizikal.
Pembicaraan berkenaan teknik penyembuhan yang melibatkan kaedah menganalisis
tanda-tanda fizikal dalam mendiagnosis penyakit dan juga kaedah spiritual
seperti kaedah ‘menurun’ dan bantuan rohani.
Kitab tib ini menjadi lebih istimewa kerana banyak membicarakan tentang ramuan ubatan atau bahan untuk merawat penyakit. Ramuan ubatan yang sering digunakan adalah berasaskan sumber semula jadi flora dan fauna seperti akar-akar kayu, daun-daun, bahagian-bahagian dari binatang seperti hempedu landak, kulit ayam, susu kambing, kulit kijang dan sebagainya. Disamping itu, terdapat juga penawar yang disertakan doa, jampi, tangkal dan azimat, serta rajah dan formula tertentu. Perincian berkenaan perbicaraan penawar juga meliputi unsur petua dan pantang larang yang perlu dipatuhi oleh pesakit dan ianya amat sinonim dalam ilmu perubatan tradisional Melayu.
Secara keseluruhannya kitab tib dianggap satu
sumber rujukan yang penting kerana memperlihatkan kearifan masyarakat Melayu
dalam mengenal pasti dan merawat penyakit.
Usaha memartabatkan ilmu perubatan Melayu
adalah penting dalam memastikan kesinambungan tradisi dan ilmu yang disampaikan
tidak ditelan zaman. Sehingga kini terdapat beberapa naskhah kitab tib yang
telah ditransliterasi atau dirumikan serta dianalisis bagi memudahkan pembacaan
dan menggalakkan kajian lanjutan berkaitan perubatan tradisional Melayu yang
terkandung dalam kitab tib tersebut.
SUMBER
Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM
(Abdul Hayat Mat Saad, Norbaiah Mat Yaacob
& Md Azharulzaman Mohamed Said)
PENAFIAN
Artikel ini merupakan sebahagian daripada
usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan
dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan
tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang
penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan
keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan.
Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal
perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk
melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak
bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan
yang memudaratkan pengguna.