ABDULLAH BIN KARIM

Abdullah bin Karim atau lebih dikenali dengan nama penanya
A.K Hidayat dilahirkan pada 22 Mei 1948. Anak kelahiran Lanchang, Pahang ini
telah berkecimpung dalam bidang seni drama, teater dan penulisan kreatif secara
serius sejak tahun 1970-an lagi. Pada tahun 1982, beliau telah menimba ilmu
pengarahan seni teater di Universiti Sains Malaysia (USM) dan memperolehi Sijil
Kreatif Seni Teater. Seterusnya beliau telah menimba ilmu seni teater di
Universitas Gajah Mada di Indonesia pada tahun 1983.
Beliau banyak terlibat dalam seni pengarahan teater dan
menjadi Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) dalam bidang teater di Jabatan Kebudayaan
dan Kesenian Negara, Pahang dan beberapa Universiti Awam (UA) dan swasta
tempatan antaranya UiTM Kampus Jengka Pahang (2010), UNITEN (2011), UiTM
Dungun, Terengganu (2012-2015), UMP Pahang (2016), UIA Pahang Indera Mahkota
(2017), Universiti Malaysia Kelantan (2020), Politeknik Sultan Mizan Zainal
Abidin (2011-2019) dan banyak lagi. Beliau juga sering dijemput sebagai juri
pertandingan teater dan deklamasi sajak. Antara penglibatan beliau selaku juri
pertandingan ialah :-
2017 - Juri Pertandingan Teater Sekolah Menengah negeri
Terengganu.
2017, 2018 & 2019 - Juri Pertandingan Deklamasi Sajak
negeri Terengganu.
2019 - Panel Juri Festival Teater Malaysia negeri Terengganu.
A.K Hidayat telah mengarah lebih 30 buah pementasan teater
sepanjang penglibatannya dalam bidang tersebut. Antara teater yang telah
diarahkan oleh beliau ialah pementasan Teater Sangkar Madu, Mahkamah, Mayat,
Pemakaman Kaduk, Inflakasta, Pahlawan Semantan Pahang, Teater Mat Kilau, Tok
Gah Pak Kaduk, Bahaya Denggi, Alang Perkasa dan lain-lain lagi.
Beliau turut terlibat dalam program Pertukaran Budaya
mewakili negeri Pahang. Antaranya ialah program Pertukaran Budaya Pahang-Johor
(2016), Pertukaran Budaya Pahang-Terengganu (2017) dan Pertukaran Budaya
Pahang-Kelantan (2018).