ROSLAN BIN MADUN

Beliau dilahirkan di Kg. Durian Tawar,
Mengkarak, Triang, Pahang pada 20 Julai 1952. Telah mendapat pendidikan
menengah di Raub, Pahang. Mula menyelidik dan mempopularkan lagu rakyat pada
tahun 1981. Setelah berhijrah ke Kuala
Lumpur pada tahun 1982, beliau terus memperjuangkan lagu-lagu rakyat, dengan
mengadakan persembahan dalam majlis sastera dan majlis rasmi kerajaan di
seluruh Negara.
Beliau pernah mengadakan persembahan di luar negara iaitu di Singapura (1982), di Padang dan Riau Indonesia (1991), di Fukuoka Jepun (1986) dan di Teajon dan Seoul, Korea (1993).
Pada tahun 2000, beliau pulang ke Temerloh dan menubuhkan Anggun Performing Arts. Pertubuhan Anggun ini, telah menjalankan kegiatan kecil dan besar setiap bulan termasuk bengkel-bengkel sastera, teater dan lain-lain.
Festival Temerloh ialah acara terbesar dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Temerloh atau MPT selama 5 tahun berturut-turut. Bakat-bakat yang lahir dari pelbagai pertandingan bercorak kesenian yang diadakan oleh pertubuhan Anggun kini ramai yang sudah mendapat diploma di ASWARA dan ada yang sedang mengambil ijazah di universiti tempatan.
Beliau aktif memberi bimbingan lagu rakyat dan puisi tradisional di sekolah, maktab dan universiti. Sering diundang menjadi juri dalam pertandingan bercorak kesenian tradisional. Bergiat dalam bidang sastera dan pernah menerima Anugerah Sastera Utusan/ExxonMobil kategori puisi pada tahun 2006.
Turut terlibat dalam industri perfileman pada tahun 1986, bila dilantik sebagai pengarah seni untuk filem Riang Tirana, sampai sekarang beliau terus menulis skrip, berlakon, mengarah drama tv dan teater.
Lagu Lemak Manis nyanyiannya digunakan di sekolah-sekolah dan kem-kem Latihan Khidmat Negara. Lagu tersebut juga sering dinyanyikan di majlis keramaian dalam berbagai bentuk, seperti koir dan nyanyian berkumpulan. Lagu Seloka Pak Kaduk pula menduduki carta Hit Gegar THR hampir satu tahun pada tahun 2009. Album lagu-lagu rakyat pernah dihasilkan dengan kerjasama JKKN dan kerajaan Negeri Pahang.
Lanjutan dari sumbangan dan jasa di dalam bidang seni, Roslan Madun telah dikurniakan PKC 2003, AAP 2006 & SMP 2009 oleh KDYMM Sultan Pahang.
Lain lain jawatan yang disandang oleh Roslan Madun iaitu sebagai Ahli Lembaga Pengarah Muzium Negeri Pahang dan Penyelaras Program Penghayatan Sastera dan Budaya bagi Negeri Melaka. Roslan Madun turut menubuhkan Majlis Teater Negeri Pahang.
Roslan Madun kini menjadi penggiat seni sepenuh masa.