YBHG. DATO’ ARIPIN SAID

YBhg. Dato' Aripin Said dilahirkan pada 11 Disember 1948 di
Kampung Batu Bor, Chenor, Pahang. Beliau terkenal sebagai seorang penyanyi lagu
rakyat Pahang seawal tahun 1970an lagi. Selain itu, beliau juga terlibat
sebagai seorang penyair dan penulis kreatif dan buku-buku akademik berkaitan
seni budaya.
Tokoh ini sering diundang untuk membuat persembahan lagu-lagu
rakyat di dalam dan di luar negeri. Antaranya di Brunei Darul Salam, Sri
Langka, Indonesia, Singapura, Belanda (Rochester), United Kingdom (London),
Perancis dan Jerman. Lagu-lagu rakyat Pahang seperti 'Indung-Indung dan Terbang
Tebu' merupakan antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan beliau dalam
persembahannya.
Lulusan bidang Penulisan Kreatif dari Universiti Sains
Malaysia (UMS), dan bidang Linguistik dan Pendidikan Bahasa serta Sastera dari
Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah menyumbang bakti sebagai guru di sekolah
rendah dan menengah selama 13 tahun dan pensyarah universiti selama 17 tahun.
Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah novel, 200 buah cerpen dan lebih
200 buah puisi. Karya-karyanya telah tersiar di pelbagai akhbar mingguan dan
majalah di tanah air seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu,
Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Budaya, Mastika, Sarina,
Al-Islam, Kiblat, Majalah Sukan, Pemimpin, Sistem Pelajar dan lain-lain lagi.
YBhg. Dato' Aripin telah memenangi beberapa hadiah sastera
tanah air yang dikendalikan oleh institusi dan badan-badan tertentu. Antara
hadiah yang dimenanginya ialah Peraduan Mengarang Cerpen Islam pada tahun 1979,
dan Hadiah Sastera Utusan Melayu (Puisi) oleh Public Bank pada tahun 1987.
Bukunya yang berjudul Ceritera Awang Miskin terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
telah memenangi Hadiah Buku Kebangsaan pada tahun 1990 bagi kategori Klasik
Remaja.
Figura ini telah menerima pelbagai anugerah pengiktirafan
terhadap sumbangan dan jasa beliau dalam bidang budaya. Antaranya Darjah
Kebesaran SAP (2006), SMP (2004), AMN (1998), Penghargaan Budaya Pahang (1998),
BKM (1994), PCK (1994). Pada tahun 2009, beliau telah dianugerahkan Darjah
Kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' oleh
DYMM Sultan Pahang. Pada tahun 2015, Beliau telah diangkat sebagai Tokoh
Warisan Orang Hidup Kebangsaan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN).