MATHEW NGAU JAU

Mathew Ngau Jau dilahirkan dan dibesarkan di rumah panjang, Sungai Baram, Sarawak. Beliau membesar di dalam persekitaran yang kurang dipengaruhi budaya luar kerana berada jauh di pedalaman Sungai Baram iaitu di tengah-tengah Borneo. Berbekalkan bakat yang ada, beliau mewarisi pelbagai khazanah masyarakatnya iaitu Ngoreh dari suku Kenyah. Masyarakatnya menjadi salah satu suku pertama yang merintis pembukaan Baram. Mathew yang turut dikenali sebagai Sape Master merupakan etnik Ngoreh, salah satu suku Kenyah. Beliau bukan sahaja terkenal di peringkat negara malah juga di peringkat antarabangsa.
Sejak kecil, beliau telah didedahkan dengan muzik sape dan lagu-lagu tradisi dan pada hari ini beliau menjadi salah seorang pemuzik sape yang digelar "Sape Master" dan kepakaran beliau tidak dapat dinafikan lagi. Beliau telah berguru dengan lagenda pemuzik sape iaitu Tusau Padan. Setelah kematian Tusau Pandan, beliau antara pewaris pemuzik sape terunggul ketika ini.
Pada tahun 2008, Mathew menjadi salah seorang pemuzik sape yang dibawa khas ke Paris untuk mempromosi sape salah satu kesenian masyarakat Malayasia. Selain itu, beliau juga pernah dijemput untuk membuat persembahan di beberapa negara yang kaya dengan seni muzik seperti Milan, Itali, Afrika Selatan, Jerman (Johannesberg), Australia dan Amerika Syarikat. Beliau telah dianggap sebagai duta seni Malaysia yang berusaha keras mempromosi muzik sape di persada antarabangsa.
Kebolehan beliau tidak terhad kepada bermain muzik sape semata-mata, malah mampu menghasilkan alat muzik sape, menghasilkan lukisan-lukisan tradisi, berbakat dalam tarian ngajat dan sebagainya. Beliau juga memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat mempelajari kesenian ini terutamanya penginap di Tuyang Longhouse homestay yang diusahankannya.
Pada 11 Ogos 2015, beliau telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Beliau juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri Sarawak bagi tahun 2016 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan ke atas sumbangannya yang telah memberi impak besar kepada dunia seni muzik tanah air sehingga ke peringkat antarabangsa.