SAMAT BIN MAN

Samat bin Man atau lebih dikenali dengan pak non dilahirkan pada 18 Mei 1946 di Kampung Tok Kaya, Kayang Perlis. Beliau merupakan anak sulung daripada lapan (8) adik beradik. Beliau telah berkahwin dengan pilihan hatinya bernama Halijah binti Ismail. Perkongsian hidup bersama isteri beliau dikurniakan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan.
Beliau mula mempelajari pembuatan wau dan wau hiasan sejak tahun 1963 dan
mewarisi kemahiran pembuatan wau daripada datuknya iaitu Ishak bin Din. Sewaktu
di sekolah rendah beliau sering mengikut datuknya ke sawah untuk bermain
permainan wau dan belajar cara pembuatan wau. Beliau sanggup ke Kelantan untuk berguru
bagi mengasah bakat dalam bidang pembuatan wau dan seni ukir bermotifkan bunga
di wau tersebut.
Pencapaian beliau dalam seni pembuatan wau dan seni ukir telah membawa beliau
menjelajah keseluruh Malaysia dan sehingga
ke luar negara. Antara pencapaian beliau adalah memenangi pertandingan wau
peringkat antarabangsa di Pertandingan Pesta Layang-layang Pasir Gudang, Johor
pada tahun 1997 dan memenangi 3 tahun berturut-turut pertandingan wau di
Satun, Thailand pada tahun 2001 hingga 2003. Beliau juga membuat pertunjukan
Wau Malaysia pada pertandingan Wau Antarabangsa Bali, Indonesia pada tahun
1999. Pada tahun 2008 beliau ke World Sport Cultural & Festival di Busan,
Korea untuk demontrasi pembuatan wau sekaligus mendapat pengiktirafan peringkat
diploma sempena penyertaan 4th Busan TAFISA Wold Sport for all Games.
Selain World Sport Cultural & Festival, beliau juga telah membuat beberapa
demonstrasi antaranya World Expo 2010 di Shanghai, China, dan Malaysia Week
London pada tahun 2013. Beliau juga mendapat tempahan wau bulan dari syarikat
penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang menjadi simbol kepada logo syarikat
tersebut. Wau hiasan beliau juga terdapat di Istana Negeri Johor dan Negeri
Perlis.
Usaha beliau dalam memartabatkan seni dan budaya telah diiktiraf oleh Kerajaan
Negeri Perlis dengan penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) sempena ulang
tahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis pada 17 Mei 2014. Beliau juga telah
diikhtiraf sebagai Penerima Anugerah Tukang Ulung Kraf oleh Perbadanan
Kraftangan Malaysia pada tahun 2014 dan Anugerah Layang -layang Angkasa oleh Tuanku Mahkota
Johor Tuanku Ismail Sultan Ibrahim sempena Pesta Layang-layang Antarabangsa
2015.