WAJIK
Wajik
merupakan makanan tradisi daripada turun-temurun peninggalan orang-orang dahulu
kala. Wajik ini juga merupakan manisan yang digemari oleh setiap lapisan masyarakat
lebih-lebih lagi golongan masyarakat yang lebih berusia. Kebiasaannya, manisan
ini hanya boleh didapati sewaktu musim-musim perayaan sahaja. Namun, di daerah
Kuala Pilah terdapat gerai di tepi jalan yang menjual wajik ini walaupun bukan
pada musim perayaan. Bahan utama yang digunakan dalam pembuatan wajik ini
adalah beras pulut, gula enau dan santan kelapa. Ketiga-tiga bahan tersebut
akan dimasak selama berjam-jam sehingga campuran sebatian tersebut menjadi
likat dan pekat. Keunikan manisan ini adalah boleh disimpan dalam jangka masa
yang panjang jika manisan ini disimpan dengan elok dan rapi. Penggunaan daun
pandan dalam pembuatan wajik ini menaikkan lagi aroma beras pulut, santan dan
gula enau tersebut. Orang pada zaman dahulu lebih gemar menyimpan atau
membungkus wajik ini dengan menggunakan daun pisang. Hal ini demikian kerana
daun pisang mempunyai aroma yang tersendiri dan aroma tersebutlah yang
menjadikan wajik itu lebih unik dan wangi. Kini, cara pemprosesan wajik telah
berlaku perbezaan rentetan peredaran zaman yang kian pesat membangun dengan
kecanggihan teknologi. Namun begitu, manisan ini tetap mempunyai penggemarnya
yang tersendiri walaupun telah berlaku perbezaan dari segi pemprosesannya dan
pembungkusannya. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika wajik ini
diangkat sebagai makanan warisan di Negeri Sembilan.