MASAK LEMAK CILI API IKAN KELI SALAI
Masakan
Lemak Cili Api Ikan Keli Salai ini memang terkenal di Negeri Sembilan. Bahan
yang disalai ini sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung
luar mahupun orang tempatan. Hal ini demikian kerana bahan yang disalai ini
mempunyai rasa yang berbeza daripada bahan asalnya dan mempunyai aroma yang
tersendiri. Kebiasaannya bahan salai seperti ikan keli ini amat enak dimasak
lemak cili api. Oleh hal yang demikian wujudnya masak lemak cili api ikan keli
salai dan masakan ini seringkali mendapat sambutan yang memberangsangkan di
gerai-gerai makan. Proses pengeringan atau menyalai ikan dilakukan dalam tempoh
masa yang lama agar bahan yang disalai betul-betul kering dan tersalai secara
menyeluruh. Tambahan lagi, proses menyalai ini dilakukan di atas bara api yang
sederhana sahaja panasnya. Ini kerana jika disalai di atas bara api yang besar
maka bahan yang disalai akan terbakar atau hangus. Bahan-bahan yang digunakan
untuk masak lemak cili api ikan keli salai adalah sama seperti penyediaan untuk
masak lemak cili api yang biasanya dan yang hanya membezakannya adalah bahan
utama yang disalai. Penggunaan daun kunyit dan serai dalam pembuatan masak
lemak cili api ikan keli salai adalah untuk menaikkan lagi aroma masakan
tersebut selain daripada aroma bahan yang disalai. Walaupun proses penyediaan
juadah ini agak rumit namun ia amat berbaloi kerana keunikan aroma yang
dihasilkan dan rasa yang enak daripada bahan yang disalai tersebut. Oleh hal
yang demikian, tidak hairanlah, jika para pengunjung mampu menambah nasi
berkali-kali kerana merasa enak menikmati masak lemak cili api ikan keli salai
ini.