MASAK LADA API TELUR ITIK DAN BELIMBING BULUH
Masak Lada Api Telur Itik dan Belimbing Buluh amat sinonim dengan
masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Tidak hairanlah jika masakan ini
disediakan setiap hari dan dijadikan sebagai juadah wajib di gerai-gerai atau
kedai-kedai makan yang ada di setiap daerah di Negeri Sembilan ini. Keunikan
aroma yang ada dalam masakan ini sendiri telah memikat hati bagi sesiapa yang
menikmatinya. Hal ini kerana gabungan bahan-bahan yang digunakan dalam masakan
ini telah mengeluarkan satu rasa yang seimbang dan enak sehinggakan pengunjung
leka menikmatinya. Antara bahan utama dalam masakan ini ialah lada api, kunyit
hidup, santan pekat, telur itik dan belimbing buluh. Penggunaan bahan-bahan
yang segar itu sendiri mampu menaikkan lagi keenakan dalam masakan ini.
Pengunjung akan dapat merasai keseimbangan rasa dalam masakan ini di mana
terdapat rasa lemak daripada santan, pedas daripada lada api dan masam daripada
belimbing buluh itu sendiri. Keseimbangan inilah yang akan menaikkan lagi
selera pengunjung dalam menikmatinya. Penggunaan serai dan daun kunyit telah
membantu dalam meningkatkan lagi aroma yang wangi dalam masakan ini. Tambahan
lagi, warna kuning yang dihasilkan daripada penggunaan kunyit hidup tersebut
telah menambahkan lagi seri pada masakan ini. Namun begitu, terdapat juga cara
yang tersendiri dalam memecahkan telur itik tersebut agar kuningnya tidak pecah
dalam masakan. Tekniknya adalah di mana sewaktu hendak memecahkan telur,
hendaklah memecahkannya satu persatu dalam mangkuk agar kita dapat bentuk yang
cantik dalam masakan tersebut. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika
Masak Lada Api Telur Itik dan Belimbing Buluh ini mendapat permintaan yang
tinggi dalam setiap kedai-kedai makan di sekitar Negeri Sembilan ini.