GULAI PISANG MUDA DAN IKAN BILIS
Gulai Pisang Muda dan Ikan Bilis ini amat terkenal di Negeri Sembilan
lebih-lebih lagi bagi golongan masyarakat Melayu dahulu. Kita sedia maklum
bahawa masyarakat dahulu gemar menggunakan bahan-bahan mentah yang terdapat di
persekitaran rumah mereka untuk dijadikan sebagai masakan. Oleh hal yang
demikian, penggunaan pisang muda dalam masakan gulai ini bukanlah satu perkara
yang pelik atau aneh. Hal ini demikian kerana masakan ini telah pun diamalkan
daripada zaman dahulu lagi sehingga masakan ini telah pun diangkat sebagai masakan
tradisi masyarakat Negeri Sembilan. Masakan Gulai Pisang Muda dan Ikan Bilis
ini juga tidak ketinggalan ditawarkan dalam menu-menu pilihan bagi gerai-gerai
makan di Negeri Sembilan kerana ia merupakan salah satu makanan tradisi orang
dahulu kala. Pemilihan pisang dalam masakan ini ialah pisang lemak manis yang
muda dan bukannya yang sudah masak. Ini kerana jika menggunakan pisang yang
masak maka pisang tersebut akan terlalu lembut dan hancur. Tambahan lagi, jika
menggunakan pisang muda dalam masakan ini kita dapatlah bentuk pisang yang
masih cantik dan kukuh. Penyediaan bahan utama iaitu pisang muda ini adalah
dengan mengupas kulit pisang tersebut dan memotongnya mengikut citarasa.
Lantas, setelah dikupas dan dipotong pisang muda tersebut, hendaklah direndam
ke dalam air garam. Perkara ini dilakukan untuk menghilangkan getah-getah yang
terdapat di pisang muda tersebut. Penggunaan pisang lemak manis ini juga mampu
menambahkan kemanisan semula jadi dalam masakan ini selain rasa lemak daripada
santan dan ikan bilis. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika masakan ini
masih lagi mendapat permintaan daripada pengunjung kenara keunikan rasanya itu.