AMINAH NANI

AMINAH NANI

Aminah Nani merupakan Primadona Bangsawan yang tiada duanya. Beliau dilahirkan pada 15 Januari 1919 di Lorong Pisang, Singapura, dan menetap di Kampung Makam Pulau Pinang dari tahun 1957 hingga 2000. Aminah atau lebih mesra dengan panggilan Mak Minah Alias dibesarkan dalam suasana bangsawan sejak kecil lagi.

 

Mak Minah telah melibatkan dirinya dalam seni persembahan bangsawan seawal usia kanak - kanak lagi lantaran lahir dari keluarga yang berdarah seni. Apatah lagi beliau pada masa itu mendapat sokongan dari ayahnya Wak Nani yang juga merupakan 'State Director' di Star Opera serta suami Pak Alias yang juga penggiat bangsawan. Dalam bangsawan, lakonan, nyanyian dan tarian merupakan antara kekuatan utama dan Mak Minah yang mahir dengan bakat tersebut berjaya melonjakkannya menjadi Seri Panggung tersohor pada ketika itu. Bermula dengan Genani Star Opera, Dean Opera, British Malaya Opera, Grand Nooran Opera serta menerajui pelbagai persembahan bangsawan. Mak Minah bersama kumpulan bangsawannya telah menjelajah ke seluruh Malaysia dan Brunei untuk mempersembahkan Bangsawan. Mak Nani bersama suaminya Pak Alias juga merupakan pelopor kepada penubuhan Persatuan Bangsawan Artis (PERAWAN) pada 28 Februari 1988. Mak Nani telah berpeluang mewakili Malaysia ke Festival of Dances and Music di Dacca.

 

Kegigihan Mak Minah dan Pak Alias dalam memperkembangkan bangsawan terserlah apabila kumpulan PERAWAN dinobatkan sebagai juara Manifestasi Bangsawan ketika mementaskan Raden Mas di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejajar dengan itu, beliau turut secara tidak langsung menjadi pakar rujuk dalam bengkel - bengkel, pementasan bangsawan yang dikelolakan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu.

 

Mak Minah terus berbakti sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada 6 November 2000.

603-2614 8200

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Aras 16, 18, 19, 26, 27, 30 & 34, Menara TH Perdana

Lot 1001, Jalan Sultan Ismail

50250 Kuala Lumpur

E-mel: info@jkkn.gov.my