PERMAINAN LANSARAN

Lansaran berasal daripada perkataan
kaum Murut, lumasar, yang bermaksud ‘melambung’ atau ‘berayun-ayun’. Tradisi
ini adalah warisan nenek moyang kaum Murut di daerah-daerah Tenom dan Keningau,
Sabah. Dahulunya tradisi ini berkait rapat dengan pemujaan roh atau semangat
tengkorak, khususnya pemujaan semangat kepala manusia yang diperoleh semasa
ngayau yakni berperang. Kini permainan ini dimainkan sempena keramaian seperti
perkahwinan dan perpindahan ke rumah panjang yang baharu. Tempat lansaran
berukuran lapan hingga 30 kaki persegi dan dapat menampung lebihkurang 30 orang
pemain dibina secara bergotong-royong di suatu ruang di rumah panjang.
Beberapa batang kayu bulat yang keras dan liat sebesar lengan orang dewasa, biasanya daripada jenis Selangan Batu, diikat dengan rotan saga bagi menampung tempat permainan ini yang dibina tergantung sekaki ke bawah daripada paras lantai rumah. Cara bermain ialah pemain turun ke permukaan lansaran dan dengan sendirinya badan terasa ‘melambung-lambung’ akibat lambungan turun naik lansaran berkenaan. Kadang-kadang hadiah diletak di paras atas lansaran dan pemain cuba ‘melambungkan diri’ untuk mendapatkan hadiah berkenaan.