GULI

Permainan ini menggunakan guli sebagai peralatan utama. Terdapat dua jenis guli yang sering digunakan iaitu ‘guli kaca’ dan ‘guli batu kapur’. Guli kaca yang berwarna warni digunakan sebagai ‘guli taruhan’ manakala guli batu kapur bertindak sebagai ‘guli induk’
Sebelum memulakan permainan, penentuan giliran hendaklah dibuat dengan cara berdiri di sebelah bulatan atau kawasan berlorek dan melorekkan guli induk ke arah garisan penanda. Kedudukan guli yang berada di kedudukan sebelum garisan diberi keutamaan berbanding kedudukan guli yang berada selepas garisan penanda. Pemain yang gulinya berada paling hampir dengan garisan dan tidak melepasi garisan penanda mengambil giliran di tempat pertama.
Pemain dianggap kalah jika guli induknya tersangkut di dalam bulatan. Tetapi status pemain ‘hidup’ boleh berlaku pada bila-bila masa jika guli induknya keluar daripada bulatan akibat terkena lontaran guli yang dilakukan oleh pemain lain. Tiada cara khusus untuk menamatkan permainan. Lazimnya ia memerlukan perbincangan dan persetujuan bersama sama ada ingin meneruskan atau menamatkan permainan.