CAPLONG (PEMBEDIL BULUH)

Pembedil
buluh atau digelar sebagai 'caplong' adalah permainan kanak-kanak yang diperbuat
daripada buluh. Konsep asal permainan ini berteraskan lastik atau senjata api
yang digunakan dalam peperangan. Lazimnya pembedil ini diperbuat daripada
batang buluh kecil dan laras penembak peluru di dalamnya dibuat dengan buluh
yang diraut atau kayu serta besi. Setiap pemain perlu memiliki pembedil sendiri
dengan peluru yang menggunakan kertas surat khabar yang direndam dahulu dan
dibentuk menjadi bebola kecil untuk disumbat ke dalam lubang buluh. Peluru
'caplong' ini juga, boleh menggunakan buah pokok 'cenerai' yang banyak terdapat
di kawasan kampung. Bunyi yang dihasilkan ketika membedil dengan alat permainan
ini, agak kuat dan menjadikan kanak-kanak berasa teruja dan gembira.
Permainan ini dimainkan secara berkumpulan. Satu pasukan bertindak sebagai tentera manakala satu pasukan lagi sebagai musuh. Jumlah mata dikira mengikut bilangan pemain yang tidak tertembak. Pemain perlu mematuhi peraturan tertentu. Antaranya sasaran tembakan hanya dari bahagian pinggang ke bawah. Pemain yang telah ditembak perlu menyerah diri dan tidak boleh menyambung permainan.
Permainan ini popular dalam kalangan kanak-kanak semasa era 80-an di negeri-negeri Semenanjung Malaysia di kampung-kampung yang mempunyai pokok buluh.