PERMAINAN KETINTING KAPAL TERBANG

Selain
nama Ketinting permainan individu ini juga dikenali sebagai Teng-Teng. Ada
sesetengah tempat memanggilnya decok. Kebiasaannya ia dimainkan di atas
permukaan yang rata iaitu di laman rumah dan kawasan bersimen atau bertar.
Permainan ini dimainkan dengan cara mengimbang badan menggunakan sebelah kaki
yang berpijak pada permukaan yang rata. Bilangan pemain ialah dua hingga empat
orang. Jika jumlah pemain melebihi bilangan itu maka situasi ini mendatangkan
kesukaran bagi setiap pemain untuk berteng-teng.
Sebelum memulakan permainan gelanggang perlu disediakan dengan cara membuat goresan di atas permukaan. Jika permukaan bersimen atau bertar maka kapur tulis digunakan untuk membuat garisan. Selain gelanggang gundu juga perlu disediakan, yang berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan seperti pecahan pinggan, batu leper dan sebagainya. Gundu digunakan sebagai tanda untuk menggerakkan kedudukan pemain di petak-petak gelanggang. Status kemenangan setiap pemain bergantung pada bilangan "rumah" yang dimilikinya.