CONGKAK

Congkak
adalah salah satu permainan tradisional yang berkembang mengikut peredaran
zaman, dipercayai dibawa ke kepulauan Melayu melalui India. Congkak terkenal di
Kedah, Kelantan dan Johor. Nama Congkak diberikan oleh kerana mula-mula
dimainkan menggunakan kulit kerang atau "congkak".
Peralatan utama ialah papan congkak dan buah congkak. Papan congkak biasanya diperbuat daripada batang tebal pokok kayu yang mempunyai ukuran 80sm hingga 1 meter panjang dan 18cm hingga 20cm lebar. Papan dibentuk seperti perahu dengan bahagian atasnya terdapat dua baris lubang. Setiap baris mempunyai lima atau tujuh lubang yang setiap satu berukuran 6cm garis pusat. Lubang-lubang kecil ini dikenali sebagai 'kampung'. Di hujung barisan lubang kecil terdapat satu lubang yang lebih besar berukuran 14cm garis pusat setiap satu, di kiri dan kanan. Kedua-dua lubang besar ini dinamakan 'rumah'.
Congkak dimainkan oleh dua orang secara pusingan dan jumlah pusingan bergantung kepada ketetapan yang dibuat antara kedua-dua pemain. Matlamat permainan congkak ialah menamatkan permainan terlebih dahulu daripada lawan dan menghalang lawan daripada terus meneruskan permainan.