ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KEDAYAN ADAT PERKAHWINAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KEDAYAN ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN

Kaum Kedayan terdapat di daerah-daerah Sipitang, Beaufort dan Kuala Penyu, serta di Wilayah Persekutuan Labuan. Bahasa mereka ialah bahasa Kedayan Brunei dan mereka beragama Islam.


NJAUM-NJAUM (MERISIK DAN MEMINANG)

Adat ini bermula dengan kunjungan wakil pihak lelaki ke rumah pihak keluarga perempuan untuk merisik. Acara dimulakan dengan pemberian sebentuk cincin dan wang tunai kepada pihak perempuan sebagai pembuka mulut atau pemanis bicara. Jumlah wang pembuka mulut tidak ditetapkan dan tertakluk kepada permintaan pihak perempuan. Kadar masa kini adalah RM50.00.

Setelah cincin dan wang tunai diterima, pihak lelaki memberitahu hajat kedatangan mereka untuk meminang anak perempuan keluarga yang dikunjungi. Jika pihak perempuan bersetuju menerima hasrat berkenaan maka mereka akan menerangkan mengenai adat istiadat, disusuli dengan perbincangan tentang perkara-perkara yang perlu disediakan pihak lelaki untuk majlis pertunangan, iaitu:

1. Sebentuk cincin emas sebagai tanda pertunangan.

2. Sebilah keris yang lengkap dengan sarungnya sebagai simbolik pengganti diri lelaki atau penjaga kepada gadis yang ditunangi. Keris akan diserah kembali kepada pihak lelaki selepas sempurnanya upacara akad nikah kerana keris tersebut akan digunakan pengantin lelaki semasa majlis persandingan sebagai tanda kebesaran.

3. Sejenis bekas barangan tradisi bernama kipil dan caamai untuk menyimpan cincin. Jika sukar didapati di pasaran boleh digantikan dengan wang tunai mengikut kadar semasa.

4. Sapangadak pakaian iaitu pakaian untuk sepersalinan lengkap dari hujung kaki ke hujung rambut. Kedua-dua belah pihak boleh menggantikannya dengan nilai wang tunai mengikut anggaran harga yang dipersetujui bersama.

5. Sebentuk cincin emas untuk kakak perempuan yang akan bertunang jika berlaku langkah dulang yakni perempuan itu mempunyai kakak yang masih belum bertunang.

6. Menyediakan keperluan lain atas permintaan pihak perempuan andai berlaku langkah sungai iaitu pihak lelaki bukan daripada kaum Kedayan.


BERTUNANG/MAJLIS PERTUNANGAN

Tarikh pertunangan ditentukan oleh kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Pada hari bertunang rombongan lelaki datang membawa hantaran pertunangan seperti yang dibincangkan pada hari merisik. Hantaran biasanya dibawa di dalam talam berhias. Pihak perempuan akan memaklumkan kepada hadirin bahawa semua hantaran yang dibawa memenuhi syarat seperti yang dipersetujui bersama. Pihak perempuan akan memulangkan talam hantaran dengan mengisinya dengan barangan yang bersesuaian untuk dibawa pulang oleh rombongan lelaki.

AMALAN DAN PANTANG LARANG SEMASA BERTUNANG

Bagi memastikan hubungan baik antara keluarga kedua-dua pihak lelaki dan perempuan mula terjalin sejak pertunangan, kaum ini mengambil berat amalan-amalan murni seperti berziarah dinamakan badudun, antara kedua belah pihak. Dalam badudun biasanya buah tangan dibawa untuk tuan rumah dan sebaliknya. Dalam sepanjang tempoh bertunang juga kedua pihak hendaklah menjaga tata susila dan menjaga nama baik keluarga masing-masing.

ADAT PERKAHWINAN

Sebelum akad nikah bakal pengantin perempuan biasanya mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan wajah dan kulit. Ia juga dilarang keluar rumah selama tujuh hingga 14 hari sebelum majlis perkahwinan.

BABADAK DAN MANDI PENGANTIN

Pada sebelah malam selepas akad nikah kedua-dua pengantin mengadakan majlis malam babadak iaitu malam berinai di rumah masing-masing, dengan persembahan marhaban atau badikii. Dalam majlis ini biasanya tujuh lelaki dan tujuh wanita yang terpilih dalam kalangan keluarga terdekat menepung tawar pengantin, diserikan dengan berzanji, marhaban dan selawat ke atas nabi.

Acara merenjis pengantin dilakukan oleh kaum keluarga dan tetamu semasa selawat nabi dilaungkan. Ini diikuti dengan acara bergambus atau tari-menari, mukun atau bergendang hingga larut malam. Acara ini sangat popular seketika dahulu kerana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana berbalas pantun dengan hadirin. Mandi pengantin pula dilakukan dengan beradat diiringi pukulan kulintangan dan rempana.

Pengantin lelaki yang bertandang ke rumah pengantin perempuan dipimpin menggunakan saputangan oleh imam atau yang dianggap setaraf, diiringi kumpulan rempana atau kompang dan bunga manggar. Majlis bertimbang atau bersanding dilakukan di pelamin hingga ke luar rumah untuk tatapan tetamu. Pada malamnya pasangan pengantin tidak dibenarkan tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Acara maliwan atau pengantin lelaki membawa isteri bersama rombongan balik ke rumah lelaki diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.

 

 

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052