ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM TIDUNG ADAT PASAK INDUNG ATAU NAIK BUAI

PENGENALAN
Selain kaum-kaum Bulungan dan Dayak, kaum
Tidung adalah salah satu daripada tiga kaum di kawasan Kalimantan Utara
sehingga Daerah Tawau di timur Sabah. Mereka mendiami kawasan pantai,
pulau-pulau serta pesisir sungai, dan bekerja sebagai nelayan serta bercucuk
tanam dan memanfaatkan hasil hutan.
PASAK INDUNG ATAU NAIK BUAI
Adat ini adalah khusus bagi anak yang baru
dilahirkan, dilakukan semasa bayi berumur selewatnya tiga bulan. Upacara
dimulakan dengan si ibu turun menjejaki tanah, memijak batu asah dan meminum
air putih yang disediakan mak bidan sebagai tanda tempoh berpantang sudah
berakhir.
Bayi diletakkan di atas dulang beralas gabol
lipet raja bersila (tujuh helai kain sarung yang berlipat). Mak bidan
berserta tujuh orang wanita tua memasukkan bayi ke dalam buaian kemudian
dikeluarkan dan diletakkan di atas dulang. Tindakan ini diulang sebanyak tujuh
kali. Acara berzanji dan doa selamat diikuti acara gunting abuk (gunting
rambut bayi) turut diadakan.
Bayi yang dilahirkan pada bulan Safar
menjalani upacara penimbangan, yakni bayi ditimbang dengan pelbagai buah-buahan
dan kuih-muih tradisional kaum ini, dan barangan ini kemudiannya dihidang
kepada tetamu.