ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN

PENGENALAN

Kaum yang menetap di Daerah Semporna di timur Sabah ini berbeza daripada yang di kawasan pantai barat Sabah daripada aspek dialek dan loghat bahasa.

Upacara kematian kaum ini mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu Islam. Perkara fardu seperti memandikan jenazah sehingga pengkebumian dilakukan menurut agama Islam. Namun, terdapat beberapa kepercayaan dan adat serta pantang larang yang masih diamalkan sehingga kini.

ADAT DAN PANTANG LARANG KEMATIAN

Apabila berlaku kematian, keluarga si mati meletakkan barangan si mati, terutama pakaian, di dalam piring bersama lampai (hiasan bunga-bungaan). Yang membawa lampai ke kubur akan menjadi empunya barangan tersebut, dianggap sedekah daripada si mati. Ketika keranda diusung ke tanah perkuburan, semua ahli keluarga si mati kena pasuhuk (lalu tiga kali di bawah keranda), dipercayai membolehkan si mati tidak akan mengingati keluarganya yang masih hidup.

Dipercayai juga orang yang mati boleh membuatkan orang hidup jatuh sakit, dipanggil keteguran. Mereka yang ternampak atau terserempak dengan rombongan yang membawa jenazah ke perkuburan hendaklah, setelah rombongan tersebut berlalu, membuang barangan yang ada di tangan terutama air atau makanan seperti beras, dengan berniat agar semua benda yang tak baik dibawa bersama dengan mayat. Perbuatan ini bertujuan membuang sial.

Selepas pengebumian, bangkai-bangkaian (tempat tidur yang lengkap) disediakan untuk si mati. Bantal diletakkan di bahagian kepala dan di kanan dan kiri tempat tidur, dan semua pakaian si mati diletakkan berhampiran dengan tempat tidur tersebut. Setiap pagi dan petang imam datang membacakan doa untuk si mati.  Makanan disediakan di tepi bangkai-bangkaian untuk imam. Selama bangkai-bangkaian berada di rumah, tuan rumah mengadakan kenduri tahlil selepas waktu maghrib.

Kenduri arwah sebelum waktu zohor diadakan tujuh hari berturut-turut sebagai magduwa (membaca doa). Kenduri disambut besar-besaran pada hari ketujuh dipanggil bahangi pituk, pada hari ke-20 dipanggil bahangi duwam puk, hari ke-40 bahangi mpat puk, dan hari ke-100 dipanggil bahangi dahatus. Bacaan doa dipimpin imam. Makanan disaji di dalam talam dipanggil kok dulang. Menu wajib ialah nasi campur dan lauk pauk serta air putih yang juga akan diberikan kepada imam untuk dibawa pulang. Air putih yang dihidang ketika kenduri diberikan kepada tuan rumah untuk diminum.

Suku Bajau Ubian dan Bajau Sikubung mengamalkan adat magjaga-jaga (menjaga kubur selepas pengebumian). Jika kubur tidak dijaga, dipercayai akan diselongkar oleh kang-kang laut yang mengambil mayat. Logiknya tanah di pulau-pulau di daerah Semporna agak keras dan berbatu menyebabkan penggali kubur tidak dapat menggali kubur dengan lebih dalam. Justeru, bau mayat yang agak kuat merangsang anjing dan babi hutan untuk menggali kubur tersebut.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052