ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU KADAZAN PAPAR: PANTANG LARANG KAPATAZON (KEMATIAN)

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU KADAZAN PAPAR: PANTANG LARANG KAPATAZON (KEMATIAN)

PENGENALAN

Kaum KadazanDusun adalah etnik peribumi terbesar di Sabah yang dibentuk oleh dua suku utama iaitu Kadazan dan Dusun. Disebabkan persamaan bahasa dan budaya istilah baru iaitu KadazanDusun diwujudkan untuk menyatukan mereka.

KOPOGIADAN (BERKABUNG SEBELUM PENGEBUMIAN)

Kopogiadan yang bermaksud menangis bermula dengan kematian dan berlarutan selama tujuh hari hingga upacara pembersihan tamat. Mayat diletakkan di bilik hadapan di rumah dan barangan peribadinya diletak bersebelahannya. Saudara mara serta penduduk kampung datang memberi penghormatan terakhir. Sepanjang waktu ini anak perempuan yang lebih tua dan pasangan si mati duduk di tepi keranda dalam keadaan penuh hiba. Pada pagi hari ketiga setiap yang datang meraung dan menangisi pemergian si mati. Pasangan dan anak, diikuti oleh menantu dan cucu si mati menggenggam tangan si mati sebagai tanda perpisahan. Keranda kemudiannya ditutup tanpa dikunci lalu diangkat oleh saudara mara lelaki dan dibawa ke kawasan perkuburan.

Jika si mati beragama Kristian seluruh keluarga pergi ke gereja terlebih dahulu untuk upacara penghormatan. Perarakan ini diringi paluan gong berirama dunsai. Ketika upacara berlangsung keranda dibuka supaya saudara mara dan sahabat handai si mati boleh melihatnya buat kali terakhir. Kemudian yang hadir mengiringi si mati ke tanah perkuburan, termasuk pasangannya dan saudara-mara perempuan.

Adat berkabung kaum KadazanDusun pesisir pantai seperti di Papar adalah sama seperti mereka yang tinggal di pedalaman, namun mereka mempunyai pengaruh budaya luar seperti adat masyakarat Cina. Di Daerah Penampang yang bukan di pesisir pantai dan Daerah Tambunan di pedalaman Sabah contohnya, yang berkabung perlu berpakaian hitam dan tidak boleh bersolek atau memakai barangan kemas. Pasangan si mati juga diminta untuk duduk ditengah-tengah rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah, atau masuk ke rumah orang lain sepanjang tempoh tujuh hari pertama selepas kematian, serta tidak dibenarkan bercakap dengan sesiapa. Ayam dan khinzir disembelih pada hari pertama kematian dan diikuti dengan kerbau pada hari kedua atau ketiga. Sekiranya tiada penyembelihan kerbau maka dunsai tidak dimainkan.

 KAPAMAHABANGAN (PENGEBUMIAN)

Upacara pengebumian selalunya dijalankan sehingga waktu tengah hari. Mengikut tradisi di Daerah Tambunan di pedalaman Sabah, kaum wanita dan kanak-kanak tidak dibenarkan pergi ke tanah perkuburan terutama jika si mati ialah suami atau bapa mereka. Dipercayai tombiruo atau roh si mati akan melekat pada isteri dan anak-anak yang masih hidup dan terus menghantui keluarga mereka. Pada hari ini yang beragama Kristian tidak mengikut sepenuhnya amalan ini, namun ibu yang mempunyai anak kecil biasanya tidak pergi ke kawasan perkuburan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052