ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN TATANA: PERTUNANGAN DAN PERKAHWINAN

PENGENALAN
Dusun Tatana yang kebanyakannya di daerah Kuala Penyu pada mulanya hidup secara berpuak-puak dan terbahagi kepada dua kelompok, yakni orang hulu yang tinggal di bahagian atas (di Suang Seruang), dan orang hilir (di Suang Tunan). Lama-kelamaan orang hilir digelar Tatana.
PERTUNANGAN
Seorang lelaki atau wanita tua digunakan
sebagai orang tengah dinamakan susuruan, bagi pihak lelaki pergi ke
rumah pihak perempuan biasanya pada hari Selasa, Khamis atau Sabtu. Pihak
perempuan diberi masa untuk berunding dan menetapkan tarikh susuruan
kembali mendapatkan jawapan. Jika pinangan diterima maka keluarga pihak
perempuan akan menyediakan jamuan makan dan minum kepada susuruan. Jika
sebaliknya berlaku, ini bermakna pinangan pihak lelaki ditolak.
Tarikh pertunangan ditetapkan mengikut persetujuan kedua belah pihak dan bulan dan hari yang baik serta dengan kiraan angka genap. Perbelanjaan pertunangan yang ditanggung oleh lelaki adalah mengikut kemampuan pihak keluarga pasangan pengantin. Permintaan pertunangan biasanya seekor kerbau atau khinzir, sepasang kain, sebentuk cincin emas, gelang emas, wang belanja dapur (kadar mengikut yang patut) dan wang talak sebanyak RM500.
Kedua mereka tidak boleh membuat hubungan
sebelum berkahwin. Si perempuan juga tidak boleh pergi ke mana-mana sesuka hati
kecuali dengan izin tunangnya. Jika ingkar, maka dia didenda mengembalikan
semua perbelanjaan waktu bertunang. Sekiranya pihak yang lelaki ingkar, maka
perbelanjaan pertunangan dikira hangus.
KOTOLIBAN ATAU SEPANGADAK (DIKEBELAKANGKAN)
Sekiranya anak perempuan yang paling muda
berkahwin terlebih dahulu daripada kakak-kakaknya maka adik perempuan ini perlu
memberikan hadiah kotoliban kepada mereka iaitu dundung atau sigar
(tanjak), sira (baju), gonob (sarung), dan sebentuk cincin emas.
BALUN (PERBELANJAAN KAHWIN)
Biasanya terdiri daripada seekor kerbau besar rinampung
(matang), sepikul khinzir, gelang emas atau rantai emas, inapung (mas
kahwin) RM500. dan wang belanja dapur mengikut keadaan upacara perkahwinan.
PERKAHWINAN
Bagi yang beragama Kristian dan Katolik atau
tidak beragama (Pagan) perkahwinan mereka berbeza daripada adat moginum
kahwin atau bemasak (persiapan kahwin dan menyediakan jamuan). Mereka
menyediakan kolupis dan berbagai macam jenis makanan termasuk menyembelih
kerbau rinampung untuk dihidang pada malam moginum (malam
keraian).
KAHWIN NIALAP DAN UNULI
Nialap
bererti si lelaki dan perempuan, atas suka sama suka, berkumpul sebagai suami
isteri tanpa bertunang. Mereka dikahwinkan dengan cepat dan ringkas dengan
perbelanjaan iaitu seekor kerbau, seekor khinzir dan perbelanjaan dapur yang
sederhana. Bagi kahwin Inuli si lelaki pulang ke rumah si perempuan dan
terpulang kepada si perempuan untuk mengambil keputusan menerima atau tidak
lelaki berkenaan.