ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN
Perkahwinan kaum Bajau di Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat Sabah, mempunyai sedikit persamaan dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Kaum ini sangat mementingkan pelaksanaan setiap upacara dalam adat perkahwinan mereka yang melibatkan tujuh peringkat utama, dimulai upacara Tilau-Tilau dan Mendo (merisik dan meminang), diikuti Seruan (bertunang), Norong (menyerah hantaran), Mandi Bedak (malam berinai), Nikah dan Sanding, Ngendo (menjemput pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki), dan Ngedede (menghantar semula kedua-dua pengantin ke rumah pihak perempuan).
TILAU-TILAU DAN MENDO
Ibu bapa memilih gadis untuk dijadikan menantu. Bila telah dikenal pasti persiapan bagi tilau-tilau (merisik) segera diatur. Sebaik selesai risikan kesempatan diambil untuk bertanyakan latar belakang si gadis kerana masyarakat Bajau mementingkan zuriat.
SERUAN
Majlis seruan (bertunang) diadakan di rumah pihak perempuan dan tempoh bertunang serta tarikh perkahwinan dibincangkan. Kaum ini sangat teliti dalam hal memilih bulan serta tarikh perkahwinan.
NORONG
Selepas itu adalah upacara norong iaitu majlis
menghantar berian (hantaran) daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan. Hari
norong dikenali sebagai malad dan lazimnya dibuat waktu pagi. Dalam upacara ini
tarikh perkahwinan ditetapkan.
Terdapat dua jenis norong. Yang pertama dibuat ketika dalam tempoh tiga bulan manakala yang kedua dalam masa tiga sehingga sehari sebelum majlis perkahwinan.
MANDI BEDAK
Acara mandi bedak atau malam berinai diadakan sebelum majlis nikah dan bersanding. Antara bahan yang digunakan adalah beras kuning, inai, bunga rampai dan santan kelapa berserta daun pandan. Bedak dilumur di seluruh tubuh pengantin bagi membuang kotoran. Hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan hadir. Bagi memeriahkan majlis acara betitik dan berunsai (muzik dan tarian tradisi Bajau) diselang seli pantun diadakan sepanjang malam selepas selesai acara merenjis.
NIKAH DAN SANDING
Ketibaan rombongan pengantin lelaki di rumah
pengantin perempuan diwar-warkan dengan beberapa das tembakan. Rombongan
pengantin dimestikan membawa damak (buah tangan). Dahulunya pengantin lelaki
tidak dibenarkan memijak tanah. Justeru, pengantin berketurunan Datu diarak
menggunakan usungan, manakala orang biasa diarak di atas kuda. Pengantin lelaki
dibawa naik ke atas rumah pengantin perempuan dan didudukkan di atas peningkoon
(tempat duduk berupa tilam kecil beralas tujuh lapisan tipo selisir, sejenis
tikar tradisi Bajau) diapit dua orang pengapit. Kemudian akad nikah dilaksana
dalam keadaan duduk atau berdiri dibuat pada hari bersanding. Selepas itu
pengantin disandingkan.
Pelamin mempunyai tiga lapis tabir yang perlu dilalui pengantin lelaki yang juga diminta bersyair dan membayar cukai tabir. Sebelum duduk di pelamin pengantin lelaki perlu membatalkan wuduk dengan memusing-musingkan sapu tangannya tiga kali di atas kepala pengantin perempuan kemudian menjatuhkannya di atas tapak tangan pengantin perempuan. Seterusnya pengantin lelaki menyentuh lelangit kerasnya dengan ibu jari kanan dan menyentuh dahi isterinya dengan ibu jari tersebut sambil membaca kalimah syahadah.
NGANDO DAN NGENDEDE
Selepas majlis perkahwinan ialah upacara
ngando iaitu menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pihak lelaki.
Pengantin perempuan perlu membasuh kaki sebagai tanda menyucikan diri selain
sah menjadi ahli keluarga lelaki. Selepas beberapa hari acara ngedede pula
dilaksana iaitu menghantar semula kedua-dua pengantin ke rumah pengantin
perempuan. Pengantin diberi hadiah seperti peralatan dapur, peralatan tidur dan
sebagainya.