ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU SUKU UBIAN: KORBAN UNTUK SI MATI

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU SUKU UBIAN: KORBAN UNTUK SI MATI

PENGENALAN

Suku Ubian adalah antara masyarakat terawal yang mendiami Pulau Banggi di Bahagian Kudat di utara Sabah, serta di kawasan Sandakan dan Semporna di timur Sabah. Mereka masih mengamalkan kehidupan tradisional dan memegang kuat kepada adat serta kepercayaan campuran tradisi dan agama Islam.

Mengikut kepercayaan suku ini jika korban untuk si mati gagal dilaksana mereka percaya si mati tidak dapat ke Padang Masyhar di akhirat kerana tiada binatang korbannya untuk tunggangan, yang seeloknya kambing kerana tidak berkongsi. Kepercayaan ini terus diamal oleh generasi tua namun tidak sepenuhnya oleh generasi muda selari dengan ajaran Islam.

PERSEDIAAN

Kambing yang digambarkan sebagai si mati dijaga di atas rumah oleh keluarga terdekat seminggu sebelum dikorbankan. Tindakan ini dipercayai akan menemukan mereka kelak di akhirat dengan yang empunya korban berkenaan. Selama dalam peliharaan kambing tersebut diberi sajian yang ada kalanya makanan kegemaran si mati semasa si mati masih hidup.

MEMANDIKAN KAMBING

Kambing dimandikan dan dibersihkan serta disembur wangian seperti minyak atar oleh imam sebelum dikorbankan, diiringi bacaan ayat-ayat al-Quran.

MENYERAHKAN HANTARAN KORBAN

Wakil keluarga si mati menyerahkan hantaran korban kepada imam disaksikan keluarga, dengan lafaz berikut:

"Assalammualaikum, tuan iman aku wakil mah kah luarga ku noongan duaan pagkulbanan arwah emmahku tahun tiahe kelna Allah Taala"

Maknanya: Assalamualaikum tuan imam saya mewakili keluargaku untuk menyerahkan hantaran barangan korban untuk arwah (kaitan si mati dengan wakil) tahun ini kerana Allah Taala.

Imam mendapatkan maklumat nama, umur dan tarikh si mati meninggal dunia. Tok imam menerima hantaran tersebut dengan lafaz berikut:


"Walaikumsalam, taimaku soongan duaan kulban tiahe tu mah tahun diahe tu kelna Allah Taala."

Maknanya: Walaikumsalam, aku terima hantaran barangan korban ini pada tahun ini kerana Allah Taala.

MEMAKAIKAN KAMBING

Selepas imam membaca doa selamat kambing diikat tiga lilitan serban pada tanduknya yang melambangkan keislaman seseorang itu, simbol pemimpin, dan lelaki. Bucu serban diwarnakan kuning daripada kunyit hidup melambangkan kedaulatan dan keagungan Ilahi. Kambing dipakaikan kain pelikat sebagai simbol pakaian yang dipercayai menjadi pakaian terakhir ke Padang Masyhar nanti. Kambing dipakaikan tudung jika si mati adalah perempuan.

PENYEMBELIHAN DAN MELAPAH DAGING

Penyembelihan dilaksana seperti biasa tapi diiringi bacaan seperti berikut yang ditulis di atas kertas:
Itonah kulban (nama si mati) matahun tiahie tu, sinongan eindahnamaka banaan anak-anaknah kerana Allah Taala.
Maknanya: Ini adalah korban untuk arwah (nama si mati) pada tahun ini, yang dipersembahkan oleh isteri (suami) dan anak-anaknya kerana Allah Taala.
Kertas itu ditanam sekali bersama darah sembelihan dan dianggap sebagai pasport untuk masuk ke Padang Masyhar.

Kambing yang telah disembelih ditiup dagingnya dengan batang daun betik terlebih dahulu, dipercayai untuk menghalau hantu atau jin-jin jahat. Selepas itu barulah daging kambing dilapah mengikut sukatan untuk diagih kepada yang berhak.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052