ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM ORANG SUNGAI ETNIK ADAT KEMATIAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM ORANG SUNGAI ETNIK ADAT KEMATIAN

PENGENALAN

Kaum Orang Sungai memegang kuat adat dan pantang larang mengenai kematian dan dalam pengurusan jenazah kerana ini dianggap sebagai penghormatan terakhir kepada si mati.

PENGURUSAN JENAZAH

Pengurusan jenazah dikendali oleh imam atau ahli kelurga terdekat dan hendaklah dilakukan secara tertib dan terhormat kerana dipercayai jenazah merasa sakit sekiranya dilakukan secara kasar. Jenazah perempuan diurus oleh orang perempuan dan jenazah lelaki oleh orang lelaki. Jenazah kanak-kanak yang belum akhil baligh diurus oleh imam atau ahli keluarga sendiri.

Biasanya jenazah diletak di sudut ruang tamu rumah untuk dimandikan dan dikapankan dengan kain putih. Ini juga memudahkan saudara mara serta sahabat handai memberikan penghormatan terakhir juga bacaan doa. Kitab Quran diletakkan di hujung bahagian kepala jenazah.

Keluarga si mati menyediakan hidangan untuk para tetamu yang menziarahi jenazah manakala sanak saudara serta sahabat handai bergotong royong mengurus jenazah sehingga selesai dikebumikan. Para lelaki menggali kubur berpandukan ukuran jenazah diberikan imam, mendirikan khemah di kawasan rumah si mati, dan membuat keranda buluh serta nisan. Bagi jenazah lelaki nisan berbentuk bulat daripada kayu manakala berbentuk leper daripada papan bagi jenazah perempuan.

Kubur hendaklah menghadap kiblat iaitu arah solat orang Islam. Imam memastikan kerja-kerja penggalian adalah betul sambil membaca doa dan ayat-ayat Al-Quran bagi mengelak perkara-perkara yang tidak baik semasa penggalian. Kubur hendaklah digali oleh seorang individu sahaja dan boleh diganti oleh para individu seterusnya. Jika kubur digali lebih daripada seorang bersama-sama adalah dipercayai mereka akan mengikut jejak kematian seterusnya. Jenazah diiring ke tanah perkuburan dengan bacaan zikir oleh mereka yang mengiringi.

MANDIAN RUPOG

Jenazah dimandikan terlebih dahulu diurus oleh imam kampung atau ahli keluarga yang mahir, bertujuan membersihkan jenazah daripada najis.  Empat jenis air digunakan iaitu air bedak, air santan, air talkin, dan air limau. Jenazah dimandikan dengan 10 jirus sahaja iaitu masing-masing tiga kali di kanan dan di kiri serta di bahagian tengah. Jirusan terakhir, yang ke-10, disiram ke seluruh anggota badan.

Kemudian jenazah dipakaikan kain sarung baru ataupun yang sering dipakai si mati semasa hidup. Setelah itu barulah sanak saudara dibenarkan menziarahi si mati untuk kali terakhir. Bacaan ayat-ayat Al-Quran serta doa dibacakan sebagai sedekah kepada si mati.

PANTANG LARANG

Sekiranya berlaku kematian orang kampung memberhentikan kegiatan seperti berkebun, memburu, dan sebagainya. Biasanya mereka menziarahi jenazah dan membantu dalam pengurusan jenazah. Keluarga dan hadirin tidak boleh bertengkar kerana dipercayai roh si mati masih berada di rumah dan melihat segala perlakuan mereka sebelum jasadnya dikebumikan. Benda-benda tajam seperti gunting dan pisau diletakkan di atas pusat si mati untuk menjaganya kerana dipercayai mayat boleh diganggu dan dihasut oleh syaitan serta makhluk halus.

Semasa jenazah masih di rumah semua kucing ditangkap dan dikurung kerana dikhuatiri melangkah mayat tersebut. Ketika jenazah dimandikan kawasan bawah rumah, dipanggil kolong rumah, hendaklah dikosongkan kerana dipercayai adalah tidak baik jika terkena air mandian jenazah.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052