ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU ORANG SUNGAI DI KINABATANGAN: PERKAHWINAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU ORANG SUNGAI DI KINABATANGAN: PERKAHWINAN

PENGENALAN

Suku Orang Sungai ramai terdapat di Daerah Kinabatangan di Bahagian Sandakan di timur Sabah juga di Bahagian Kudat di utara negeri ini. Terdapat lebih kurang 30 pecahan suku ini di Sabah. Suku ini mudah dikenali dengan bentuk mata yang kecil ataupun sepet serta hidung yang kurang mancung dan berkulit cerah persis keturunan cina.

Bagi yang beragama Islam terdapat adat istiadat yang bercanggah dengan agama. Mereka telah mengasimilasi adat orang Melayu dan telah mengamalkannya sekian lama, seperti adat perkahwinan. Perkahwinan campur juga turut mempengaruhi budaya dan adat mereka.

JARUM-JARUM (MERISIK)

Keluarga pihak lelaki menghantar seorang atau dua wakil ke rumah keluarga perempuan untuk merisik untuk mengetahui status terkini gadis yang dimaksudkan sama ada masih bujang, sudah bertunang atau sudah berkahwin. Jika masih bujang maka wakil tadi akan memberitahu pihak keluarga perempuan bahawa keluarga pihak lelaki akan bertandang untuk meminang pada suatu tarikh yang akan ditentukan.

MENAWO (MEMINANG)

Kebiasaannya kedua belah pihak lelaki dan perempuan melantik wakil masing-masing sebagai jurucakap untuk perundingan perkahwinan. Wakil-wakil ini adalah mereka yang berpengalaman dalam adat istiadat perkahwinan.

Majlis meminang bermula dengan penyerahan pengawang basaro (pembuka mulut) berupa duit RM20, sebilah parang bersarung, gulungan kawat dan sebentuk cincin serta beg pakaian lelaki yang ditinggalkan di rumah perempuan selama bertunang.Disamping sebagai tanda hormat dan ketinggian budi pekerti serta sopan santun yang luhur, barangan ini juga sebagai tanda betapa besarnya hajat pihak lelaki. Selain pengawang basaro, belanja badung (bayaran perbelanjaan jamuan semasa majlis meminang) juga diserahkan kepada tuan rumah. Jika persetujuan dicapai termasuk jumlah ssur (hantaran) dan mas kahwin dapat ditentukan maka penando (tanda setuju) selalunya sebentuk cincin emas pertunangan disarungkan oleh wakil pihak lelaki.

MAJLIS MENGASSUR (HANTARAN)

Pada majlis ini semua permintaan pihak perempuan diserahkan kepada mereka dengan penuh adat istiadat serta harmoni. Kedua belah pihak membuat pernyataan dengan merujuk jumlah permintaan ssur yang dipersetujui sebelum ini. Kebiasaannya semua hantaran diletakkan di dalam dulang dalam hiasan kraftangan yang halus. Selalunya dalam majlis yang sama pihak perempuan membalas dulang hantaran sebagai tanda kasih dan sukacita. Bilangan dulang balasan pihak perempuan selalunya melebihi bilangan dulang pihak lelaki.

MAJLIS GABBPIE TULLAU (MALAM BERINAI)

Majlis ini berlangsung secara berasingan pada malam sehari sebelum majlis nikah. Pengantin lelaki menyerahkan set kelengkapan berinai kepada pengantin perempuan untuk majlis ini. Malam berinai diserikan dengan acara bertimbang, bergunting atau cukur jambul untuk bayi, serta membaca dan berkhatam Al-Quran, juga berzanji dan marhaban. Mengikut pantang larang suku Orang Sungai Buludupi, pasangan pengantin digalakkan tullau (berjaga) sepanjang malam bagi mengelak mendapat mimpi yang tidak baik.

NIKAH DAN SANDING

Upacara ini disempurnakan di rumah keluarga pengantin perempuan berdasarkan ajaran Islam. Kadang-kadang adat okab lawing (membuka pintu) diminta keluarga pengantin perempuan selepas rukun nikah disempurnakan. Selepas acara tersebut doa kesyukuran dibacakan. Selepas bersalaman dengan para tetamu pengantin lelaki dibawa masuk ke bilik pengantin perempuan untuk adat pengawang ambat-ambat (membuka pagar) yang bilangan pagar bergantung kepada kebijaksanaan pengiring pengantin.

Dalam bilik pengantin diadakan acara penemmil (menepung tawar) ke atas kedua pengantin. Acara seterusnya ialah adat menemo (suap-menyuap), yakni kedua pengantin disuapkan oleh seorang wakil keluarga dengan nasi putih dan telur ayam. Kemudian kedua pengantin dibaringkan serentak di atas tarugan (katil tidur) tiga kali berturut-turut. Setelah selesai kedua pengantin dibawa keluar untuk majlis bersanding.

Pasangan pengantin disandingkan di atas sebuah singgahsana raja sehari, bertujuan untuk dipertontonkan kepada hadirin. Ketika ini acara merenjis disempurnakan oleh keluarga kedua pihak dan beberapa orang kenamaan keluarga terdekat sebagai tanda merestui perkahwinan tersebut. Majlis seumpama ini selalunya diulangi lagi pada ratub tello (malam ketiga) dan pada ratub turu (malam ketujuh).

Sebelum genap tujuh hari pasangan pengantin tidak dibenarkan memijak tanah sebagai pantang larang. Semasa tempoh pantang kelas nasihat kepada pasangan pengantin dikendali oleh tok guru dan mak andam yang berpengalaman. Majlis makan beradab juga diadakan dalam tempoh berpantang.

MAJLIS SAMBUT MENANTU

Selepas genap tujuh hari si suami membawa balik isterinya untuk diperkenalkan secara rasmi kepada keluarganya. Acara penemmil (menepung tawar) disempurnakan sebelum memasuki rumah atau kawasan rumah dengan pasangan pengantin, secara bergilir, memasukkan kedua belah kaki ke dalam dulang tembaga yang berisi beberapa jenis ramuan tradisional.

Sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah pasangan pengantin ditaburkan begkas bianing (beras kunyit) sebagai tanda kesyukuran. Pengantin perempuan menerima pengennik (hadiah istimewa) daripada keluarga pengantin lelaki sebagai tanda kasih sayang dan penerimaan sebagai keluarga baru. Doa kesyukuran dibacakan oleh tuan imam di akhir majlis.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052