ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN KIMARAGANG: PERKAHWINAN

PENGENALAN
Suku Dusun Kimaragang kebanyakannya tinggal di
Daerah Kota Marudu di utara Sabah. Mereka juga mempunyai adat-adat yang masih
diamalkan. Salah satunya ialah adat perkahwinan.
MONGUMPAI, LUMABAT ATAU SUMONDOT, DAN MANGATOD
Mongumpai bermaksud mencari petanda kesesuaian
bakal isteri. Lelaki baligh yang bujang bertandang ke rumah perempuan yang
ingin dikahwini untuk bermalam. Sebelum tidur lelaki berkenaan momabar
(berniat) kepada kinoringan (Tuhan) untuk memohon petanda akan
kesesuaian jodoh dengan wanita berkenaan. Kebiasaannya lelaki berkenaan
didatangi mimpi yang baik atau buruk. Sekiranya tiada mimpi, lelaki berkenaan
boleh membuat keputusan sendiri.
Lumabat
atau sumondot ialah merisik. Pihak lelaki menghantar wakil untuk
menyampaikan niat bertunang kepada keluarga pihak perempuan. Manakala mangatod
bermaksud menghantar bungkusan dipanggil damakan berisi sirih,
pinang, kapur makan, sigup (tembakau), kirai (daun tembakau),
cincin, set alat solek dan seekor ayam jantan rundukan taboi (yang cukup
matang, bulu ekornya panjang mencecah tanah) bagi perempuan yang tidak pernah
bertunang. Ini bertujuan untuk menyempurnakan adat. Namun, ada juga yang
dikembalikan untuk mengetahui kesungguhan lelaki berkenaan untuk berkahwin.
MONGKONAN ATAU TARANG BERIAN (HANTARAN BELANJA)
Mongkonan
terdiri daripada:
1.Berian:
Wang yang dipersetujui untuk diberikan kepada pihak perempuan. Wang ini menjadi
hak ibubapa sebagai ganti rugi kerana telah membesarkan anak perempuan mereka.
2. Belanja Angus: Wang yang
dibelanjakan bagi tujuan majlis perkahwinan.
3. Beras dan Kerbau: Makanan sepanjang majlis
perkahwinan.
4. Pangadapan om Talaman: Kelengkapan
bilik tidur, pelamin dan pakaian pengantin.
5. Pulanut atau salapa (bekas tembaga) berisi keinggatan(barangan untuk makan sirih), dan kosigupan (barangan untuk menghisap rokok tembakau) untuk upacara mongginggat om monigup makan sirih dan menghisap rokok tembakau semasa persandingan.
6.Sinolung Popogong: Peralatan untuk
upacara monuntung (memukul peralatan) semasa persandingan.
7. Gantung: Wang atau kerbau yang
dipersetujui bersama sebagai pagar. Dahulunya gantung ditunaikan suami
sekiranya menzalimi isteri atau menceraikannya tanpa sebab.
8. Sogit Sompusasawo: Seekor khinzir
dikorbankan untuk menghalalkan persetubuhan.
9. Sogit Kinogumu: Seekor khinzir
dikorbankan untuk menyejukkan penduduk kampung kerana percampuran lelaki dan
perempuan yang dipercayai panas.
10. Buru: Wang tunai antara RM30-RM50 diberikan suami kepada mertua. Buru bermaksud memerdekakan zuriat.
MISASAWO (UPACARA PERKAHWINAN)
Rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan dengan membawa bersama peralatan berburu dipanggil tinipu jika ia mahir berburu, untuk diserah kepada keluarga bakal isteri. Kegagalan membawa tinipu menyebabkan perkahwinan ditunda atau dibatalkan. Rombongan pengantin lelaki naik ke atas rumah dan seterusnya pengantin lelaki ke pelamin untuk bersanding. Di pelamin pengantin lelaki duduk di kanan pengantin perempuan menghadap tetamu manakala pengantin perempuan duduk bersimpuh ke kiri menghadap dinding.
Upacara mibulugu bermula dengan
pengantin lelaki mencuci tangan kemudian mengambil sedikit nasi, dikepal-kepal
bulat tiga kali lalu diberikan kepada pengantin perempuan berserta secubit ikan
turongou sebagai lauk. Pengantin perempuan menyambut makanan itu dengan
tangan dan memakannya. Perlakuan ini
dibalas oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki memberi air minum lalu
dibalas oleh pengantin perempuan. Kemudian pengantin perempuan berpusing ke
kanan perlahan-lahan untuk duduk menghadap hadirin disusuli pengantin lelaki
menyelak kerudung (penutup kepala pengantin perempuan).
Selepas itu pengantin lelaki memberikan pinang
berserta sirih yang disapu kapur makan kepada pengantin perempuan. Perlakuan
ini dibalas pengantin perempuan. Pengantin lelaki kemudian mongolumbid
(memberi lumbidan, yakni bahan-bahan untuk rokok daun tembakau) kepada
pengantin perempuan, yang dibalas oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki
mengambil gelas berisi kinomol (arak tradisional), meminum sedikit
kemudian diberikan kepada pengantin perempuan yang juga meminumnya.
Pembantu pengantin kemudiannya meletakkan saputangan di atas kepala kedua-dua pengantin. Boboliyan (bomoh) menjalankan upacara mononsob iaitu tiga batang kayu api berbara berserta bekas air diangkat ke atas kepala pengantin, dan mencurahkan sedikit air ke atas bara tersebut. Mentera khas dibaca memohon agar perkahwinan itu terhindar daripada perkara-perkara yang buruk. Selepas itu upacara monuntung dot botukul, dilakukan oleh pengantin lelaki dengan memukul botukul sebanyak tiga kali sebagai simbolik agar zuriat mereka tidak tuli dan tidak bisu. Acara kemuncak ialah migol miandak (pasangan pengantin menari tarian Pinakang) disusuli pasangan pengapit dan pasangan ibubapa pengantin.
Keluarga terdekat pengantin yang lebih tua
kemudian memberi tunjuk cara adab sopan, cara menghormati dan memklumkan nama
panggilan keluarga keduanya terutama yang berpangkat mertua. Selesai acara misusur
dot koworisan ini, keluarga keduanya makan bersama sambil beramah mesra dan
berpesta.
Biasanya persandingan diadakan lagi di rumah
keluarga pengantin lelaki keesokan harinya atau beberapa hari kemudian dalam
majlis dipanggil maganda.