AYAM LIKU

Nenek moyang suku kaum Bugis berasal daripada Sulawesi, Indonesia dan telah berhijrah serta menetap di Malaysia dan kini telah menjadi sebahagian daripada masyarakat dan rakyat di sebahagian negeri-negeri dalam Malaysia. Dalam bahasa Bugis lengkuas dipanggil 'liku'.
Justeru, masakan Ayam Liku suku kaum ini di Tawau, Sabah bermakna 'ayam dimasak
dengan lengkuas'. Bahan-bahan asas adalah ayam (sebaiknya ayam kampung atau
ayam tua), santan pekat, kerisik, serbuk kunyit, dan garam atau perasa
tambahan. Bahan-bahan yang dikisar ialah bawang putih, bawang merah, lada
putih, isi batang serai yang berwarna putih, dan lengkuas muda.
Untuk menyediakannya, didihkan santan kemudian masukkan bahan kisar dan serbuk kunyit. Masukkan ayam setelah terbit minyak. Gunakan api sederhana panas supaya perencah meresap dan ayam masak sekata. Masukkan kerisik bila kuah pekat. Kacau sekali sekala agar kuah tidak melekat pada dasar kuali. Akhir sekali masukkan garam atau perasa lain.