ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MELAYU: ADAT PERKAHWINAN

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MELAYU: ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN

Adat perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan adat sama masyarakat Melayu di Semenanjung. Adat merangkumi merasi, merisik, dan majlis perkahwinan.

SEBELUM PERKAHWINAN

MERASI

Seseorang pemuda yang ingin berkahwin meminta ibu bapanya untuk mencari pasangan untuknya. Ibu bapa pula menyerahkan tugas ini kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai. Pencari jodoh menjadi perantara bagi keluarga lelaki dan memberikan pendapatnya tentang kesesuaian seseorang gadis itu.

NGANGIN

Selepas merasi wakil pihak lelaki membuat pertanyaan secara rasmi, dipanggil kerisik kerimun, kepada keluarga pihak perempuan akan status perempuan berkenaan. Biasanya pihak perempuan meminta tempoh untuk membuat keputusan.

BERTEKUL(MERISIK)

Bertekul bererti merisik sebelum majlis bertunang, bergantung kepada kesediaan seseorang itu untuk ditunangkan. Untuk adat ini hantaran wang atau barang kemas seperti cincin emas atau berlian diberi kepada si gadis yang menandakan acara pertunangan akan diadakan.

PERKAHWINAN

1. NIKAH

(a)Persediaan

Persediaan majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama termasuk menempah kad undangan, mencari Mak Andam, dan sebagainya. Mak Andam adalah antara yang penting dalam menghias pengantin dan menyediakan pelamin.

Bagi kaum ini upacara keagamaan adalah akad nikah, manakala yang bukan keagamaan adalah berlulut, menepung tawar, acara bersanding dan makan nasi temuan. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding. Pengantin perempuan sah menjadi isteri kepada pengantin lelaki apabila akad nikah telah disempurnakan.

Acara keraian bergendang secara beramai-ramai juga diadakan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam.

(b) Jenis-Jenis Nikah: Nikah Benar, Nikah Salah, Nyerah Diri Dan Ngekot

Nikah Benaradalah perkahwinan yang mengikut lunas-lunas Islam atau mengikut adat seperti merisik dan bertunang dan direstui kedua-dua pihak.Nikah Salah berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka dipaksa untuk berkahwin. Majlis perkahwinan adalah ringkas dan sederhana.

Nyerah Diri berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana kurang kewangan untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Perlakuan sebegini melibatkan perempuan golongan berada sementara lelaki tidak berkemampuan. Mereka dinikahkan secara sederhana namun majlis sebegini memalukan keluarga perempuan.

Ngekot terjadi apabila perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki dan mereka dikahwinkan. Perlakuan ini bukan kerana masalah kewangan tetapi lebih kepada keluarga perempuan tidak menerima dan merestui pilihan anak mereka.

2. MAJLIS PERKAHWINAN/PERSANDINGAN

Upacara menepung tawar atau berlulut pengantin diadakan pada waktu malam sehari sebelum majlis persandingan, yang adakalanya diikuti dengan upacara berpacar atau berinai. Upacara ini dimeriahkan dengan persembahan pencak silat, gendang Melayu dan andai-andai atau tandak. Pengantin perempuan dimandikan oleh Mak Andam dalam upacara mandi perantan yang diakhiri dengan berwudhu.

Pengantin perempuan didandan dan dihias oleh Mak Andam. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kerana dikhuatiri akan hilang seri pengantin. Antara kebiasaan pakaian persandingan pengantin perempuan adalah kebaya songket, gaun pengantin diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas, dan gajah holen iaitu pakaian tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki biasanya mengenakan persalinan seperti pahlawan atau pakaian ibadah haji iaitu jubah putih atau hitam serta serban.

Sebelum rombongan lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, pihak pengantin perempuan menghantar tikar mengkuang atau tikar ngambik pengantin yang dibalut tudung keringkam bersulam benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan pihak lelaki. Perarakan rombongan pengantin lelaki dimulai dengan bacaan tiga kali selawat diikuti dengan paluan hadrah. Pengantin diarak menggunakan kereta atau jong. Setibanya di rumah pengantin perempuan rombongan disambut dengan acara pencak silat kapak sebagai pembuka pintu.

Pengantin lelaki dibawa masuk ke rumah dan duduk di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin. Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan yakni pengantin lelaki menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak, iaitu tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga. Perlakuan ini bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar dilakukan diiringi paluan hadrah. Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali.

Pada sebelah petang atau malam diadakan upacara makan nasi temuan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

SELEPAS PERKAHWINAN

Kebiasaannya adat menziarah rumah mertua oleh pengantin perempuan dilakukan selepas tujuh hari majlis perkahwinan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini ibu mertua menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraannya kerana mendapat menantu perempuan yang baru.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394